Home Nasional Hasrat lihat LRT di bandar besar di Kedah – Exco

Hasrat lihat LRT di bandar besar di Kedah – Exco

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin berkata ketika ini, rakyat di negeri ini lebih suka menggunakan kenderaan persendirian berikutan pengangkutan awam yang ditawarkan di Kedah tidak efisien.
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah berhasrat untuk melihat bandar-bandar besar di negeri ini dilengkapi dengan rangkaian sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi membolehkan penduduknya menggunakan sistem pengangkutan awam tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama negeri Azman Nasrudin berkata ketika ini, rakyat di negeri ini lebih suka menggunakan kenderaan persendirian berikutan pengangkutan awam yang ditawarkan di Kedah tidak efisien.

“Pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti tidak menjadi pilihan utama mungkin atas sebab ketidaktepatan masa, jadi rakyat lebih suka guna kenderaan sendiri untuk ke mana-mana namun penambahan kenderaan di jalan raya telah menyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan.

“Sebab itu kita ingin melihat semula sistem pengangkutan awam yang ada di Kedah dan saya juga berharap dapat melihat bandar besar seperti Kulim dan Kubang Pasu mempunyai pengangkutan seperti LRT,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Johari ingin tahu tindakan yang boleh diambil kerajaan negeri untuk memperkenalkan pengangkutan awam lebih efisien bagi mengurangkan jumlah kenderaan persendirian sekali gus dapat mengelak keadaan sesak di jalan raya di Kedah.

?Dalam pada itu, Azman berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa syarikat perkhidmatan bas yang baharu untuk mengisi semula laluan sosial bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) terutamanya di bandar-bandar besar di negeri ini.

“Sebelum ini, beberapa laluan sosial perkhidmatan SBST terpaksa ditamatkan berikutan jumlah penumpang yang sedikit sekaligus menyukarkan syarikat tersebut untuk menampung kos operasi yang tinggi.

“Sebab itu, kita akan cari cara untuk tingkat kualiti perkhidmatan SBST ini bagi menggalakan lebih ramai rakyat Kedah untuk menggunakan perkhidmatan bas ini antaranya menyediakan perkhidmatan WiFi percuma dan tarikan yang lain,” katanya.

— BERNAMA