NEW DELHI – Bekas Perdana Menteri India, Atal Bihari Vajpayee meninggal dunia pada usia 93 tahun petang ini.
Beliau yang dianugerahkan gelaran tertinggi India, Bharat Ratna, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.05 petang ini di Hospital Hospital All India Institute of Medical Sciences (AIIMS) di sini.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan dalam keadaan kritikal untuk menjalani rawatan jangkitan pada buah pinggang sejak Jun lalu.
“Kami dengan penuh dukacita ingin memaklumkan mengenai berita kematian bekas PM India Shri Atal Bihari Vajpayee pada 5.05 petang 16 Ogos 2018.
“Malangnya keadaan beliau bertambah kritikal sejak 36 jam lalu dan telah dipantau rapi di bawah sistem pernafasan sokongan.
“Di sebalik segala usaha dan rawatan, kita telah kehilangan insan tersayang hari ini,” kata kenyataan hospital AIIMS.
Vajpayee merupakan salah seorang daripada pengasas parti Bharatiya Janata (BJP) dan berkhidmat sebagai Perdana Menteri untuk 13 hari pada tahun 1996, 13 bulan (1998-1999) sebagai Ketua kerajaan National Democratic Alliance sebelum menjadi Perdana Menteri sepenggal dari 1999 hingga 2004.
Beliau mengumumkan persaraan dari arena politik pada 2005 dan menarik diri daripada kehidupan awam setelah diserang strok yang melemahkan badannya.
Akibat penyakit kencing manis, beliau hanya menjalani kehidupan dengan sokongan satu buah pinggang sebelum dimasukkan ke AIIMS pada 11 Jun lalu.
Perdana Menteri, Narendra Modi melawat beliau pada Rabu lalu dan memantau perkembangan semasa mengenai kesihatan dan rawatann yang diberikan di hospital tersebut.
Lahir di Gwalior pada 25 Disember 1924 beliau telah berkhidmat sebagai ahli Parlimen lebih 4 dekad. – Agensi