KUALA LUMPUR – Pengurusan tertinggi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) perlu dirombak bagi membolehkan badan amal itu dapat meneruskan usaha membantu bekas wira negara yang hidup dalam kesusahan dan menderita akibat pelbagai penyakit kronik.
Bekas atlet negara, Zulkifli Mohd. Yatim berkata, satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menggantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah YAKEB sedia ada.
Beliau yang juga ahli Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberitahu, YAKEB perlu kembali kepada pengurusan asal apabila jawatan tertinggi diwakili bekas atlet yang berkebolehan menjana pendapatan untuk badan amal itu pada masa akan datang.
“Kami sangat berbesar hati dan terharu apabila menteri sedia memberi dana baharu selepas mengetahui YAKEB telah kehabisan dana hingga menimbulkan masalah berbangkit.
“Namun, saya berpendapat masalah tidak akan selesai dan isu kekurangan dana akan kembali berlaku.
“Jadi, saya mewakili bekas atlet negara lain berharap Syed Saddiq dapat melantik Pengerusi baharu di mana calonnya adalah bekas atlet yang berkebolehan untuk menjana pendapatan YAKEB pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PPIM yang turut dihadiri Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan YAKEB mungkin terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mulai Rabu lalu berikutan masalah kehabisan dana.
Mengulas lanjut, Zulkifli yang merupakan bekas atlet 100 meter berpagar berkata, memorandum itu juga meminta menteri melantik Ahli Lembaga Pengarah YAKEB yang terdiri daripada gabungan bekas atlet, wakil kementerian, Kementerian Kewangan, usahawan, profesional dan pihak media.
Beliau menjelaskan, YAKEB patut diterajui pelbagai golongan yang betul-betul berminat seperti mana di awal penubuhannya pada tahun 2007 yang berjaya mencari dana sendiri berjumlah RM5 juta.
Selain itu kata beliau, YAKEB juga perlu dibenarkan bergabung dan bekerjasama dengan Koperasi Atlet Malaysia Berhad bagi mencari dana lebih efektif.
“Memorandum itu juga mahu ahli-ahli YAKEB dibenar untuk memilih penaung baharu agar terus maju selain memastikan tidak ada lagi pihak dalam atau luar YAKEB yang menggunakan badan amal ini untuk agenda peribadi mereka tanpa memberi apa-apa keuntungan kepada YAKEB.
“Memorandum ini akan diserahkan kepada Syed Saddiq dalam masa terdekat namun difahamkan beliau sedang sibuk dengan Sukan Asia 2018,” katanya. – MalaysiaGazette