Home Nasional Felo Perdana beri peluang generasi muda pelajari cara pentadbiran negara

Felo Perdana beri peluang generasi muda pelajari cara pentadbiran negara

PUTRAJAYA – Program Felo Perdana memberi peluang kepada generasi muda mempelajari cara-cara pentadbiran negara dan pengalaman menjadi pemimpin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata 60 anak muda yang terpilih menyertai program itu dan akan ditempatkan bersama anggota kabinetnya diharap akan melahirkan pemimpin yang dapat membawa diri dengan sikap yang diperlukan bagi seorang pemerintah.

Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang membolehkan sesiapa sahaja menjadi pemimpin, namun kejayaan sistem itu hanya akan ditentukan oleh karektor seseorang pemimpin.

“Demokrasi tidak selalunya baik kalau dapat kepada pemimpin tidak baik, maka demokrasi turut menjadi tidak baik.

“Oleh itu, banyak benda perlu dipelajari oleh generasi muda yang mungkin akan menggantikan mereka yang sudah dewasa dan berpengalaman menjadi pemimpin,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Felo Perdana kepada menteri-menteri kabinet di Perdana Putra, di sini hari ini.

Sambil menyebut nama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan alumni Felo Perdana sebagai contoh, Dr Mahathir berkata program itu mungkin akan dapat melahirkan seorang lagi menteri muda.

“Inilah masanya bagi anak-anak muda Malaysia yang mempunyai aspirasi untuk terlibat secara langsung dalam kepimpinan negara,” katanya.

Seramai 60 graduan dan mahasiswa dari universiti dalam dan luar negara terpilih menyertai program itu tahun ini daripada 542 permohonan yang diterima oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Mereka adalah kumpulan keenam Felo Perdana yang akan ditempatkan bersama menteri-menteri kabinet selama enam minggu hingga tiga bulan bertujuan melahirkan belia yang dinamik, berdaya saing dan mempunyai pengalaman relevan berhubung sistem kabinet serta pelbagai aspek kepimpinan dan pentadbiran negara.

Graduan jurusan undang-undang dari Universiti Malaya, Leeroy Ting Kah Sing adalah antara peserta bertuah yang akan ditempatkan bersama Dr Mahathir sebagai mentor.

Anak muda berusia 24 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak itu berkata sebelum menamatkan pengajian pada bulan lepas, beliau pernah bertugas dengan Jawatankuasa Reformasi Institusi yang ditubuhkan Majlis Penasihat kerajaan bagi melaksanakan perubahan kepada institusi-institusi yang penting di negara ini.

“Saya akan menggunakan kesempatan ini untuk membantu kerajaan merealisasikan beberapa cadangan jawatankuasa itu yang telah diserahkan kepada kerajaan,” katanya.

Bagi Dayana Najwa Jainon, 23, yang akan ditempatkan bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau teruja terpilih dalam kumpulan pertama Felo Perdana di bawah kerajaan baharu.

“Jadi saya mahu melihat dan melibatkan diri secara langsung dalam pelaksanaan polisi kerajaan baharu dan jika boleh menyampaikan maklumat mengenai polisi baharu ini kepada generasi saya,” katanya.

Pelajar tahun ketiga jurusan Pentadbiran Perniagaan di Monash University Malaysia, Y. Laveenyah Preetha yang akan ditempatkan bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata peluang itu tidak hadir dengan mudah terutamanya bagi mereka yang masih belum menamatkan pengajian sepertinya.

“Saya sangat teruja ditempatkan bersama beliau (Muhyiddin) lebih-lebih lagi beliau mempunyai pengalaman yang sangat lama dalam pentadbiran kerajaan, jadi saya tahu ia menjadi pengalaman yang sangat berguna bagi saya,” katanya.- BERNAMA