KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus memikirkan apakah agenda utama untuk masa depan rakyat bukan masih memainkan isu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji 100 hari sahaja.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri sudah mengakui manifesto PH ditulis dalam keadaan tidak sangka mereka boleh menang dalam PRU-14.
Dengan itu, katanya, jika mereka tidak dapat menunaikan janji berkenaan dalam tempoh 100 hari ia bukan suatu yang perlu melekakan kepimpinan UMNO dan BN.
“Kita ada agenda yang lebih besar lagi untuk rakyat. Kita perlu hala tuju baharu dan mesti berada di hadapan untuk membuat perubahan bagi memenangi semula hati rakyat,” katanya mengulas mengenai tarikh berakhirnya janji 100 hari kerajaan PH hari ini.
Ketika kempen PRU-14, PH telah mengemukakan 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika rakyat memberi peluang kepada parti itu memerintah kerajaan Persekutuan.
Antara janji-janji itu ialah menghapuskan GST, memperkenalkan semula subsidi petrol, Skim Peduli Sihat, KWSP untk suri rumah, menyamaratakan gaji minimum, menghapuskan hutang tidak wajar peneroka Felda, menangguhkan bayaran PTPTN sehingga gaji RM4,000, mengembalikan status Sabah dan Sarawaj, mengkaji semula projek mega dan menubuhkan RCI menyiasat skandal.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, kemenangan PH pada PRU-14 kerana rakyat hendak ‘buang’ UMNO dan BN bukan disebabkan mereka bersetuju dengan manifesto PH.
“Sebab itu, kerajaan PH membuat janji tanpa memikirkan implikasi kewangan dan rakyat menerimanya. Rakyat pula tidak kisah pun mengenai manifesto. Jadi, kita kena cari naratif baharu dan hujah baharu” katanya lagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan turut membidas kerajaan PH yang disifatkan sebagai menghadapi kegagalan teruk dalam menunaikan janji kepada rakyat.
Katanya, sebelum pilihan raya, pemimpin dari PH menabur bermacam-macam janji kepada rakyat tetapi apabila berkuasa, mereka gagal menunaikannya.
“Kegagalan yang teruk, sedangkan anda menjadi kerajaan kerana janji-janji itu. Bila tempoh masa sudah berakhir, mereka memberi pelbagai alasan. Gagal tetap gagal,” tegasnya.
Bagi Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasaruddin M. Zin pula, sudah terbukti segala janji yang ditabur selama ini adalah kosong dan untuk mengelirukan rakyat supaya memberi kemenangan kepada parti itu semata-mata.
Ujarnya, kemenangan kerajaan PH pada PRU-14 lalu adalah kemenangan kerana fitnah yang dilemparkan keada kerajaan BN.
“Rakyat perlu bangkit dan menentang penipuan yang berlaku dalam kerajaan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette