Home Nasional BNM dedah 1MDB didenda RM15 juta

BNM dedah 1MDB didenda RM15 juta

Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda sebanyak RM15 juta terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada “waktu di mana bank pusat berkenaan dibenarkan untuk melakukannya”, kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas waktu berkenaan.

Nor Shamsiah yang berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung jumlah denda dikenakan setakat ini terhadap 1MDB pada sidang media, di sini, hari ini, mengumumkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia untuk suku kedua tahun ini.

Pada 28 April, 2016, BNM mengeluarkan surat keterangan pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Ia adalah antara tindakan akhir yang diambil Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum bersara sebagai Gabenor BNM.

Nor Shamsiah mendedahkan pada waktu berkenaan, bank pusat itu dilarang daripada menyatakan jumlah denda berkenaan.

“Oleh kerana Parlimen semalam memberikan lampu hijau untuk membuka semula siasatan 1MDB, BNM akan meneruskan untuk menyelaraskan dengan pelbagai agensi di bawah pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat syarikat berkenaan,” katanya

Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan pada 21 Mei, berkata pasukan petugas khas yang diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan tiga lagi pemimpin dibentuk untuk menyiasat 1MDB.

Pasukan petugas khas itu turut merangkumi pegawai BNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan polis selain peguam yang mengkhusus dalam bidang undang-undang berkaitan.

“Sebagai sebahagian daripada pasukan petugas khas itu, kami membantu pasukan berkenaan dengan berkongsi kertas siasatan kami dan apa yang kami ketahui setakat ini kepada agensi berkaitan dan pasukan petugas itu

“Kami juga membantu mereka melihat aliran wang (syarikat berkenaan),” kata Nor Shamsiah dan menambah, keutamaan BNM masih terhadap menyampaikan mandat bagi memastikan kestabilan kewangan.

— BERNAMA