Home Politik Ibrahim Ali tubuh parti PUTRA

Ibrahim Ali tubuh parti PUTRA

Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali hari ini menubuhkan parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Beliau berkata, parti yang bertunjangkan Islam dan bumiputera itu akan diterajuinya sendiri dan dibantu oleh timbalannya ialah Tan Sri Khalid Yunos yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan dan bekas Pengerusi MARA.

“Kami telah mengemukakan permohonan untuk menubuhkan sebuah parit baharu yang diberi nama Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau ringkasnya PUTRA dengan berlambangkan logo tanjak,” katanya pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru hari ini.

Terdahulu Ibrahim telah mengemukakan permohonan parti baharu itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 13 Ogos lalu dan sehingga kini pihaknya masih belum mendapat jawapan berkenaan status pendaftaran PUTRA.

Ibrahim Ali
Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali (tengah) bercakap pada sidang media pengumuman penubuhan parti politik baru di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 OGOS 2018.

Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, penubuhan parti baharu itu didorong selepas beliau dan bekas pemimpin UMNO didatangi pelbagai pihak yang meluahkan kebimbangan dengan suasana politik semasa yang tidak menentu.

“Dalam masa sebulan lalu kami telah diundang oleh banyak pihak sama ada daripada tokoh-tokoh politik, akademik, pensyarah universiti, kumpulan NGO dan lebih-lebih lagi golongan anak muda.

“Mereka meluahkan perasaan apa yang berlaku suasana dalam negara. Selepas mendapat maklum balas daripada pertemuan dan desakan pihak berkepentingan ini, kami mencapai satu permuafakatan untuk kita menubuhkan sebuah parti baharu,” katanya.

Menurut Ibrahim, selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, parti berusia 63 tahun itu bagaikan hilang arah, lebih-lebih lagi dalam membela nasib orang Islam dan Melayu di negara ini.

“Ramai orang Melayu dan Bumiputera sekarang ini dalam keadaan cukup bercelaru, memang sudah banyak parti sedia ada.

“Pas pula seolah-olah dilihat sebagai hidup segan mati tak mahu, tak ke mana juga dengan kaedah dan metodologi mereka. UMNO pula sudah tewas dan parti ini dalam keadaan lemah hingga masalah dalaman berlarutan.

“Ramai dalam kalangan ahli UMNO bertemu dengan saya menimbulkan rasa gelisah dan bertanya, tidak adakah sebuah baharu yang kami boleh memberi perhatian dan sertainya,” katanya.

Katanya lagi, PUTRA lebih menyasarkan keahlian parti yang berkualiti daripada kuantiti sambil menyindir keupayaan UMNO memperoleh lebih 3 juta ahli membanggakan namun jumlah undi yang diperolehi pada PRU14 tidak mencecah 1 juta ahli.

“Siapa yang tak suka politik wang, mari sertai kami. Kalau Tengku Razaleigh tak nak politik wang boleh sertai PUTRA.

“Dulu masa KuLi bertanding Presiden UMNO kalah sebab dia mahu bersihkan UMNO daripada politik wang. Sekarang dia boleh sertai PUTRA,” katanya lagi. – MalaysiaGazette