Home Politik Ka Siong ingatkan Guan Eng ‘jangan jaga tepi kain’

Ka Siong ingatkan Guan Eng ‘jangan jaga tepi kain’

Wee Ka Siong
Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran Barisan Nasional (BN) dan membentuk perikatan baharu. - Wee Ka Siong

BANGI – Datuk Seri Wee Ka Siong membidas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilihat cuba ‘menjaga tepi kain’ parti lawan tanpa sedar terhadap dirinya sendiri.

Timbalan Presiden MCA itu berkata, Guan Eng cuba bermain secara psikologi dengan MCA menggunakan kaedah mengelirukan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menerusi penggunaan logo parti.

“Kalau menggunakan logik saya masih ingat pada PRU 14 beliaulah (Guan Eng) orang yang membuat keputusan supaya di semenanjung Malaysia menggunakan logo PKR untuk bertanding.

“Pada waktu yang sama dia gunakan logo roket untuk bertanding di Sabah dan Sarawak.

“Kalau mengikut logik saya boleh membuat andaian bahawa dia seolah-olah tidak seiring dengan Pakatan Harapan yang dibentuk oleh mereka sendiri pada PRU 14,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, hari ini.

Menurut Ka Siong, langkah MCA menggunakan logo sendiri pada PRK Balakong adalah bagi menunjukkan kemegahan parti itu yang sudah berkawan lama dengan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional selama ini.

Katanya, tidak timbul unsur MCA mahu memencilkan diri daripada parti-parti gabungan yang ada dan tuduhan yang dilemparkan Guan Eng itu adaah tidak berasas.

“Saya tak tahulah kalau satu hari nanti dialah (Guan Eng) yang akan hancur atau kata orang melakukan perpecahan pada parti dia sendiri, sebab dia yang buat. Apabila kita buat tak boleh,  macam haram pun dia boleh halalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ka Siong turut mengingatkan pengundi-pengundi di kawasan DUN Balakong agar dapat membuat keputusan untuk memilih wakil rakyat mereka pada 8 September ini dengan pandangan yang terbuka.

Katanya, PH telah menabur banyak janji pada PRU yang lalu namun tidak semua yang dilafazkan dapat ditunaikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan mereka. – MalaysiaGazette

MCA parti yang memencilkan diri – Guan Eng