Home Seni Hidup Azreen meninggal dunia akibat kanser serviks

Azreen meninggal dunia akibat kanser serviks

KUALA LUMPUR – Penyanyi era 1990-an, Azreen Manan, 41, meninggal dunia kira-kira jam 1.06 tengah hari tadi akibat penyakit kanser serviks.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dan teman rapat di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Berita itu disahkan suaminya yang mahu dikenali sebagai Shah.

Menurut Shah, 41, Azreen meninggal dalam keadaan tenang di sisi keluarga dan teman rapat.

Allahyarham dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, untuk disembahyangkan, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, selepas solat Asar petang tadi.

Azreen disahkan menghidap kanser serviks tahap empat sejak dua tahun lalu.

Beliau pernah menjalani pembedahan membuang ovari, namun, akhir tahun lalu, sel barah menyerang lagi dan beralih ke kaki.

Azreen atau nama sebenarnya Azrina Abdul Manan dikenali sebagai penyanyi pada usia 12 tahun apabila tampil bersama album sulung pada 1989.

Antara lagu popularnya ialah Semalam Yang Berlalu.

Beliau juga pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Asia Bagus pada 1992, yang menyaksikan bintang Indonesia, Krisdayanti, muncul juara.

Berita pemergian Azreen turut dikongsi beberapa teman artis seperti Erra Fazira, Zarina Zainuddin dan Nourul Depp. – MalaysiaGazette