Home Ekonomi AirAsia terbang ke Bhubaneswar, India

AirAsia terbang ke Bhubaneswar, India

KUALA LUMPUR – AirAsia mengumumkan pelancaran penerbangan terus empat kali seminggu ke Bhubaneswar, India yang akan bermula pada 26 April ini.

Laluan baharu itu merupakan laluan syarikat penerbangan tambang murah yang ke-14 ke negara itu.

Laluan tersebut akan menggunakan kod penerbangan AK dan menawarkan para tetamu merasai pengalaman menerokai bandar purba Bhubaneswar yang merupakan ibu negeri Odisha.

Promosi tambang rendah bermula dari RM99 sehala dan boleh ditempah dari 23 Februari lalu sehingga 5 Mac ini bagi tempoh perjalanan dari 26 April ini sehingga 27 Oktober depan.

Orang ramai boleh melayari airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia bagi iPhone atau peranti Android untuk menempah harga promosi istimewa ini.

Kumpulan AirAsia kini menghubungkan Kuala Lumpur terus ke Bengaluru,  Visakhapatnam, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai, Tiruchirappalli, New Delhi; dan dari Bangkok ke Chennai, Bengaluru, Kochi dan Kolkata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif bagi AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata,  laluan baru ke Bhubaneswar itu akan memberi peluang kepada pelancong antarabangsa dari Kuala Lumpur untuk ke Timur India dan kawasan-kawasan lain yang berdekatan.

“Kami teruja untuk memperkenalkan laluan terus ke Bhubaneswar yang merupakan satu destinasi yang berpotensi tinggi.

“AirAsia adalah satu-satunya syarikat penerbangan yang akan mengoperasikan laluan ini dari Kuala Lumpur. Kini, sesiapa pun dari seluruh rantau ini dapat ke Bhubaneswar.

“Pada masa sama, masyarakat Odisha boleh terbang ke Kuala Lumpur dan seterusnya berhubung terus ke rangkaian luas kami di rantau Asean dan lain yang mempunyai akses ke lebih 120 buah destinasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dikenali sebagai Temple City of India, Bhubaneswar adalah ibu kota negeri Odisha, India yang dahulunya dikenali sebagai Orissa dan mempunyai penduduk lebih dua juta orang.

Bandar ini kaya dengan sejarah lebih daripada 3,000 tahun dan kini merupakan bandar yang berkembang pesat dengan daerah komersil dan peningkatan dalam sektor pelancongan melalui pembangunan hotel baru, kedai-kedai dan restoran-restoran.

Di antara tempat tarikan mesti dikunjungi termasuk Kuil purba Lingaraj yang dibina pada abad ke-11 sebagai the truest fusion of dream and reality dan tempat-tempat seperti Gua Khandagiri dan Udayagiri yang wujud sejak abad ke-2 SM.

Tempat-tempat bersejarah seperti Muzium Tribal Bhubaneswar kaya dengan koleksi artifak, kraftangan dan objek seni yang pernah dimiliki oleh suku kaum yang berbeza, manakala taman Raj Bhavan merupakan satu mercu tanda penting bagi ibu kota moden Odisha.

Para tetamu juga boleh melihat produk-produk tempatan seperti Chandua, hasil kraftangan Orissa, dan produk-produk lain seperti lukisan tradisional, barang kemas diperbuat dari perak dan kain kapas sutera yang dikenali sebagai Sambalpuri. Selain itu, pelancong juga boleh bersantai di sepanjang pantai Puri dan Gopalpur.

Untuk mengetahui maklumat lanjut dan berita terkini mengenai aktiviti dan promosi AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia). – MalaysiaGazette