PETALING JAYA – Pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia disifatkan sebagai rakyat yang sangat bertuah sekiranya memilih Halimey Abu Bakar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 8 September ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR itu berkata, sekiranya berada dalam DUN Selangor, beliau dapat memastikan kelangsungan program yang sedang berjalan sekarang dapat diuruskan dengan lebih lancar lagi.
“Amatlah bertuah bagi pengundi di kawasan ini sekiranya saya diberi mandat sebagai ADUN kerana saya akan dapat memastikan kelangsungan program yang sedang berjalan, sekali gus memastikan urusan pentadbiran dan hal mengenainya berjalan dengan lebih lancar lagi.
“Untuk makluman juga, sebahagian besar untuk program kesejahteraan bandar di sini, sebenarnya telah dapat saya laksanakan sebelum ini atas kapasiti saya sebagai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selama hampir 10 tahun,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH dekat sini hari ini.
Halimey turut menyeru semua penduduk DUN Seri Setia berdiri teguh dan memilih PH sebagai payung yang dapat dijadikan tempat untuk bernaung.
Mengulas visi dan misinya, beliau berkata, DUN Seri Setia adalah kawasan bandar yang merangkumi kediaman meliputi pangsapuri kos rendah, perumahan bekas kerja ladang dan zon perumahan golongan menengah serta mewah.
Katanya, beliau berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk menyantuni semua lapisan masyarakat di kawasan itu dengan adil dan saksama.
“Antara misi utama saya adalah untuk meneruskan kecemerlangan kerajaan negeri dalam melaksanakan program inisiatif peduli rakyat.
“Ini kerana, pelbagai program yang diperkenalkan oleh kerajaan Selangor sehingga kini adalah untuk menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Justeru, pemimpin yang dipilih untuk mewakili pengundi di sini, seharusnya dari parti memerintah bagi memastikan suara rakyat dapat didengari,” katanya.
Pada sidang media itu, beliau turut memberitahu, tema dan perjuangan visi utamanya pada PRK kali ini ialah “Memacu Kesejahteraan Bandar”. – MalaysiaGazette