KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin terlepas daripada ‘sumpahan’ kerusi Menteri Besar (MB) Selangor.
Jika penyandangnya sebelum ini ‘meninggalkan’ kerusi itu bersama kontroversi – beliau pergi dengan bergaya.
Seiring dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) merampas Putrajaya, Mohamed Azmin ‘melepaskan’ jawatan MB dan diganti dengan tugas menteri kanan dalam kabinet.
Bagaimanapun, dalam parti, Ahli Parlimen Gombak itu mulai tergugat.
Jawatan Timbalan Presiden Keadilan (PKR) bakal ditandingi oleh juniornya, Rafizi Ramli yang juga Naib Presiden PKR.
Memang atas kertas, siapalah Rafizi mahu melawan Mohamed Azmin yang terbukti setia dengan parti sekian lama dan terbukti membawa kejayaan di negeri Selangor.
Mohamed Azmin juga terbukti kesetiaan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terbukti tidak sanggup ‘melanggar’ ketuanya semasa pemilihan nanti walaupun ada caka-cakap beliau akan bertanding jawatan presiden parti sebelum ini.
Orang kuatnya, Zuraidah Kamarudin pernah test market dengan membuat kenyataan perlunya Mohamed Azmin bertanding presiden parti atas nama demokrasi.
Terbaharu, Mohamed Azmin juga diajak debat oleh Rafizi namun ditolak mentah-mentah dan mendakwa ia bukan jawatan perdana menteri untuk direbut.
Bagi Rafizi, malu jika Mohamed Azmin tidak mahu kerana UMNO sebelum itu mengadakan debat antara calon presidennya dalam pemilihan parti itu.
Walaupun menjelang pemilihan parti, ada dua lagi PRK di depan mata namun gerakan cai dalam kalangan ahli PKR semakin ketara.
Jangan pandang mudah kepada Rafizi, pengasas Invoke itu ada strateginya tersendiri.
Kemampuannya menarik orang muda menentang BN sebelum PRU-14 terbukti berkesan dan tidak mustahil bekas Ahli Parlimen Pandan itu mampu mengubah struktur kepimpinan PKR pada masa depan.
Lebih-lebih lagi, Rafizi ‘dipayungi’ oleh presiden parti, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Rafizi juga nampaknya disokong oleh ramai pimpinan utama PKR walaupun ada antaranya berdiam diri.
Tularnya video Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani mendakwa Mohamed Azmin perlu dijatuhkan kerana terlibat dalam gerakan cuba menafikan proses Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.
Momokan kartel merosakkan parti dan kini berpakat dengan orang kuat Tun Dr. Mahathir Mohamad menjatuhkan Anwar dijadikan modal geng Rafizi.
Walaupun Perdana Menteri sudah menafikan pihak terlibat namun bukan mudah mengikis perkara itu berdasarkan track rekod dan budaya baca tersirat dalam politik orang Melayu.
Lagi pun, jika kalah, Rafizi tidak rugi apa-apa kerana akan meneruskan kegiatan dalam Invoke dan masih muda bertanding dalam pemilihan parti pada masa akan datang.
Bagaimanapun kepada Mohamed Azmin, jika gagal mempertahankan kedudukan dalam parti juga bermakna kedudukan dalam kerajaan juga akan tidak bertahan lama.
Walaupun Anwar sudah jelas menyatakan beliau menyokong kedua-dua kem itu dan tidak berpihak namun umum sukar mempercayainya.
Walaupun pertandingan pemimpin nombor dua PKR dilihat menyuburkan amalan demokrasi namun kesannya boleh menjadi ‘kudis buruk’ dalam PKR.- MalaysiaGazette