KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kelihatan gembira apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akhirnya diluluskan untuk dimansuhkan di peringkat akhir di Dewan Negara.
Ujarnya, dengan pemansuhan cukai yang menghimpit rakyat, maka GST hanya akan menjadi satu lagi lipatan sejarah buat Malaysia.
“Biar pun GST jadi idola untuk jadi pasaran bebas tapi impak amat berat kepada rakyat. Biarpun tidak telus tapi tidak mengancam pasaran dan pelabur.
“Sebelum GST dilaksanakan, tidak ada ada mengenai SST. Kita tidak biasa kerana jarang dengar, tapi selepas GST diperkenalkan semua kena cukai. Itu kesan besar kepada kos sara hidup rakyat. Sampai masanya kita cuba sedaya upaya bangunan ekonomi dalam masa yang sama rakyat nikmati pertumbuhan ekonomi itu,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Dewan Negara hari ini sebulat suara memansuhkan akta GST tanpa sebarang pindaan.
Ia dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran dalam undi sebulat suara.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan tidak berpendapat untuk mengekalkan GST dan melaksanakan SST dalam masa yang sama.
“Sekiranya ini dilakukan ia dianggap tidak ikhlas untuk tunaikan janji mansuhkan GST. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk jamin kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan tidak boleh memberi jaminan penggantian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan membuatkan rakyat lebih bahagia.
“Soalan yang lebih penting apakah jaminan rakyat boleh lebih bahagia? Saya tidak boleh jamin, tapi kita boleh rancang tapi yang tentukan ialah tuhan. Sekurang-kurangnya kita mesti berusaha untuk rancangnya.
“Salah satu usaha adalah untuk gantikan GST dengan SST kerana memang rakyat lebih susah bawah GST,” katanya lagi. -MalaysiaGazette