Home Politik ‘Berdiri dengan saya, saya akan berdiri untuk anda’

‘Berdiri dengan saya, saya akan berdiri untuk anda’

Calon Pas, Dr. Halimah Ali (tengah) beramah mesra dan mengedarkan risalah pengenalan calon kepada orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pasar Malam Kampung Lindungan, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2018.
Calon PAS, Halimah Ali (tengah) beramah mesra dan mengedarkan risalah pengenalan calon kepada orang ramai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pasar Malam Kampung Lindungan, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2018

PETALING JAYA – Dengan slogan stand by me, i will stand up for you – calon Pas, Dr. Halimah Ali turun dengan penuh yakin pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan membuat perubahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Beliau bersama jentera Dewan Muslimat Pas Selangor yang turun berkempen masuk hari ketiga hari ini telah menemui pelbagai lapisan masyarakat dalam kalangan orang Melayu, Cina dan India termasuk penjaja kecil, pesara dan keluarga orang kelainan upaya (OKU).

“Alhamdulillah, saya adalah sebahagian daripada usaha yang berhasil sewaktu berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dan Exco Kerajaan Negeri sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di Pusat Dalam Mengundi (PDM) TTDI Jaya, dekat sini hari ini.

Halimah adalah bekas ADUN Selat Klang selama dua penggal dari tahun 2008 hingga Mei 2018 dan satu penggal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Ihsan negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Atas perkhidmatan cemerlangnya sebagai wakil rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri, beliau yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu, dipilih semula oleh pucuk pimpinan Pas sebagai calon melawan Pakatan Harapan (PH) pada PRK DUN Seri Setia.

Sepanjang berkempen, beliau telah menyantuni penduduk di beberapa PDM dalam DUN itu untuk bertukar pendapat dan melihat sendiri keadaan yang dihadapi penduduk.
Menurutnya, dalam program ziarah kasih di DUN itu, beliau yang berkelulusan doktor perubatan mengambil kesempatan untuk melakukan sendiri pemeriksaan kesihatan penduduk uzur yang dikunjunginya.

Katanya, sebagus mana pun kerajaan di dunia ini, terbukti ia memerlukan satu suara yang kuat untuk memastikan kerajaan itu tidak tergelincir dari landasan perjuangan sebenar.

“Rakyat Selangor memerlukan suara pembangkang yang kuat di sidang DUN Selangor untuk memastikan kerajaan PH yang sedia ada tidak menyalah gunakan kuasa apabila menjadi pembangkang di DUN Selangor, jika pembangkang bercakap, perkataan demi perkataan akan direkodkan dan didengar oleh jabatan dan agensi kerajaan dan mereka perlu mengambil tindakan.

“Kerajaan PH perlu mempunyai check and balance yang mengimbangi apa yang mereka lakukan dan janji-janji yang telah ditaburkan,” katanya. – MalaysiaGazette