Home Nasional Pembinaan insinerator di Kepong ditangguhkan – Zuraida

Pembinaan insinerator di Kepong ditangguhkan – Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata penurunan harga itu diharapkan dapat membantu golongan B40 untuk memiliki rumah mampu milik.
Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Penangguhan pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong adalah bagi mencari penyelesaian yang lebih mesra alam sebelum ia dapat diteruskan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Zuraida bagaimanapun tidak menyatakan tempoh masa bagi meneruskan pembinaan insinerator tersebut kerana ia perlu dikaji semula untuk mengatasi masalah sampah di Kepong.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Parlimen Ampang di sini hari ini.

Insinerator yang dicadangkan dibina di Taman Beringin, Kepong itu mempunyai keupayaan melupuskan 1,000 tan sisa pepejal dari Lembah Klang tanpa melepaskan gas berbau busuk.

Pembinaan insinerator itu juga dapat membantu melupuskan sisa pepejal yang dijangka  mencapai   jumlah sehingga 33,000 tan sehari menjelang 2020 dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang berkata pembinaan insinerator lain seperti di Cameron Highlands, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi akan diteruskan kerana telah mula dipasang dan beroperasi.

Terdahulu, Zuraida dalam ucapan pada majlis itu berkata rakyat di negara ini hendaklah berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai negara sehingga hari ini.

“Dengan semangat Malaysia Baharu ini, kita harapkan akan mendapat gabungan yang terbaik untuk negara.

“Malaysia satu ketika dahulu adalah sebuah negara yang terkenal serta dihormati sehingga ke peringkat antarabangsa, justeru semangat patriotik hendaklah sentiasa disuburkan dalam diri setiap rakyat,” katanya.

— BERNAMA