BANGKOK – Polis Thailand telah merampas lebih daripada 14 juta pil methamphetamine bernilai 1.48 bilion baht (AS$45 juta) untuk diseludup ke Malaysia dan negara-negara lain.
Ia merupakan rampasan terbesar dadah di negara ini.
Polis berkata, dadah yang dikenali sebagai “yaba” atau “ubat gila”, dirampas di wilayah Ayutthaya, utara Bangkok, pada 18 Ogos lalu.
Tiga warga Thailand ditahan berhubung dengan rampasan itu, kata polis.
Dadah itu dipercayai dari Shan State di timur laut Myanmar, di kawasan yang dikuasai oleh etnik Wa, kata polis.
Leftenan Jeneral Sommai Kongvisaisuk berkata, dadah itu dirancang untuk dihantar ke Malaysia dan kemudian ke pasaran di seluruh dunia.
“Ia akan diagihkan ke Eropah, Amerika, Australia, Jepun, Singapura dan Korea,” katanya.
Rampasan dadah methamphetamine itu adalah terbesar di rantau ini.
Rekod rampasan dadah baru-baru ini telah dibuat di Malaysia dan Indonesia.
Pengeluaran dan pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara telah mencapai “tahap yang membimbangkan”, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam laporannya pada Mei lalu.
Kebanyakan dadah itu datang dari negeri Shan, Myanmar – yang telah sekian lama menghasilkan candu dan heroin. – MalaysiaGazette