Home Utama Batal ECRL ibarat hukum rakyat Pantai Timur

Batal ECRL ibarat hukum rakyat Pantai Timur

Dr Asyraf Wajdi
Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekembalinya dari lawatan kerja ke China amat mengecewakan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan itu seolah satu hukuman kerajaan Persekutuan kepada rakyat di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Katanya, hanya rakyat di tiga negeri itu tidak memilih PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, mereka dihukum dengan pembatalan projek itu.

“ECRL adalah keperluan penting bagi rakyat di tiga negeri ini sebagai infrastruktur pengangkutan awam darat yang pantas dan moden menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung.

“Ia sangat penting untuk menjadi pemangkin pertumbuhan yang memungkinkan kesan gandaan ekonomi dan kemasukan pelaburan domestik dan asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selasa lalu, bercakap kepada wartawan di akhir lawatan rasmi lima harinya ke China,  Mahathir dilaporkan berkata, projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan.

Perdana Menteri itu berkata, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang memahami sebab pembatalan dua projek yang disokong kerajaan China itu.

Mengulas lanjut, menurut Dr Asyraf Wajdi, jika ECRL diteruskan, ia dapat merancakkan lagi ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulunya melancarkan projek ECRL bernilai RM55 billion (kini RM66.7 billion) sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Projek rel dua fasa sepanjang 688 kilometer ini akan menyambungkan Pelabuhan Klang, Selangor dan Pengkalan Kubor di Kelantan dan dijangka siap pada 2024.

“Ia akan dapat menambah sebanyak 1.5 peratus kepada nilai KDNK negara dan dijangkakan mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan,” ujarnya.

Kata beliau, tidak semuanya legasi kepimpinan terdahulu harus dihapuskan hanya kerana dendam politik sehingga memangsakan rakyat Pantai Timur yang berhak menikmati kesaksamaan pembangunan ekonomi dan tidak hanya berpusat di sebelah Pantai Barat sahaja.

Justeru, katanya, Pemuda UMNO menyeru kerajaan PH agar mengenepikan ego politik untuk kembali ke meja rundingan dengan kerajaan China bagi mencari solusi terbaik agar projek ECRL dapat diteruskan.

“Sebarang terma yang didakwa tidak menguntungkan boleh sahaja dirundingkan kembali agar rakyat tidak dimangsakan dengan pembatalan projek yang sudahpun bermula,” katanya. – MalaysiaGazette