PETALING JAYA – Calon Pas, Dr. Halimah Ali berkata, perjuangannya bukan untuk ahli dan penyokong parti itu sahaja sebaliknya mewakili suara penyokong Pakatan Harapan (PH) yang tidak dipedulikan oleh wakil rakyatnya.
Justeru, katanya, walaupun hanya satu suara pembangkang sahaja berada dalam kerajaan negeri, ia adalah suara penting kerana dapat menegur dan mengimbangkan pentadbiran pemerintah.
“Nama lagi pembangkang dan sekarang ini DUN Selangor ada lima kerusi iaitu empat Barisan Nasional (BN) dan satu Pas. Jika saya menang, kerusi akan bertambah kepada enam suara pembangkang.
“Kalau semua kerusi dipenuhi PH, itu bukan pembangkang namanya. Mereka hanya sekadar berada di rumah yang sama dengan parti yang sama. Tidak ada suara untuk membela rakyat sebagaimana diperjuangkan pembangkang,” katanya kepada media selepas program ziarah kasih di Lembah Subang hari ini.
Halimah berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan calon PH dari PKR, Halimey Abu Bakar yang disifatkan sebagai sombong apabila menyatakan, sia-sia jika pengundi memilih calon Pas.
Ini kerana katanya, pertambahan satu kerusi pembangkang dalam DUN Selangor tidak akan memberi perbezaan besar dan suara mereka tidak akan didengari kerana Selangor ditadbir oleh PH.
Menurut Halimah, calon PKR itu tidak matang dan faham berpolitik, di samping tidak tahu bahawa pembangkang adalah suara berkualiti yang memberi kesan agak besar dalam pentadbiran kerajaan negeri PH.
“Yang penting ialah hendak mewakili seluruh rakyat, bukan saja di Seri Setia, malah di Selangor dan Malaysia amnya kerana apabila pembangkang ada suara wakil kepada rakyat biasa, ia akan diberikan mandat untuk mengangkat isu-isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat.
“Kita mahu pastikan kerajaan PH Selangor mendengar suara kita dan lebih prihatin, selain peka dan mengambil serius permasalahan yang berlaku. Itu mesej kita,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, PRK ini bukan pilihan raya biasa, ia adalah hari di mana rakyat dapat membuat segala perubahan dengan memilih calon dari Pas setelah merasakan kerajaan PH gagal menunaikan janji sebagaimana dikemukakan sebelum ini.
Katanya, janji 100 hari yang dikemukakan kerajaan PH tidak dapat ditunaikan sepenuhnya menyebabkan rakyat merasa kecewa dan dengan itu, mereka boleh menyampaikan mesej tidak puas hati itu dengan memberi mandat kepada Pas di DUN Seri Setia dan MCA di DUN Balakong. – MalaysiaGazette