Home Ekonomi Bayar balik GST sebelum laksana SST – MISIF

Bayar balik GST sebelum laksana SST – MISIF

SST
KUALA LUMPUR – Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia  (MISIF) berharap bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dibayar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk memulihkan keyakinan perniagaan dan mendepani cabaran sukar pada masa hadapan.

Persekutuan itu, dalam satu kenyataan hari ini berkata, meskipun ia memahami kekangan fiskal yang dihadapi kerajaan, sebarang kelewatan lagi akan menjejaskan operasi perniagaan dan mengganggu aliran tunai.

“Industri keluli telahpun dibebani dengan peningkatan kos tahun ini berikutan kenaikan dua kali ganda tarif tenaga (gas asli dan elektrik) yang berkuat kuasa 1 Julai, pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan (1 Jan), ketidakpastian berkaitan gaji minimum dan pengambilan semula pekerja asing, serta akses kredit yang ketat oleh institusi kewangan ke atas industri keluli.

“Walaupun kami menghargai kejujuran dan kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan perkara ini, kami menggesa kerajaan mempertimbangkan kebimbangan anggota kami sekiranya tempoh menunggu terus berlanjutan,” kata Persekutuan itu.

Satu kaji selidik baru-baru ini melibatkan 32 anggota MISIF menunjukkan bahawa bayaran balik cukai input berjumlah kira-kira RM85 juta masih lagi belum diterima.
— BERNAMA