KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) serta-merta untuk menyiasat kehilangan wang negara sejumlah RM35 bilion seperti yang didakwa oleh Lim Guan Eng.
Kehilangan wang itu membabitkan sejumlah RM19.24 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST dan bayaran balik tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM16.046 bilion.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, siasatan RCI itu dapat mencari kebenaran dalam memastikan adakah Barisan Nasional, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri telah melakukan pecah amanah atau Pakatan Harapan meneruskan permainan politik mereka.
Selain itu, RCI itu perlu dilakukan kerana percaya rakyat perlu tahu dan diberi kefahaman apakah sebenarnya yang berlaku berlandaskan fakta.
Najib hairan hairan mengapa ahli-ahli Parlimen PH tidak pernah sekalipun membangkitkan isu ini, walaupun sekali sebelum mereka menjadi kerajaan. Kalau sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan terbabit, ini tentu sudah menjadi isu yang besar sebelum ini.
“Saya lebih pelik kerana sama seperti kes wang GST sebanyak RM18 bilion, Guan Eng hanya sedar tentang isu RM16.046 bilion tuntutan cukai pendapatan lebih bayar selepas tiga bulan.
“Saya juga hairan kerana selama BN menjadi kerajaan, ini tidak pernah menjadi isu dan hanya apabila PH menjadi kerajaan timbul banyak isu seumpama ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Najib juga hairan mengapa Guan Eng enggan membuat laporan polis berhubung kehilangan wang berkenaan.
“Lim Guan Eng telah diminta untuk memberi kenyataan kepada pihak polis berdasarkan laporan yang dibuat oleh ahli Parlimen Rembau, YB Khairy Jamaluddin.
“Guan Eng tidak membuat laporan polis sendiri terhadap dakwaannya kononnya BN telah “merompak” wang GST RM18 bilion semasa sesi Parlimen yang memberikannya imuniti.
“Ini adalah langkah bijak oleh Guan Eng kerana membuat laporan polis yang palsu adalah salah di sisi undang-undang,” tambah Najib lagi.
Najib menafikan dakwaan Guan Eng yang berterusan menuduh Kerajaan BN tiada wang untuk membayar atau pun wang semua sudah dicuri.
Ini kerana mengikut penyata akhir tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Akauntan Negara Malaysia, Kerajaan Malaysia mempunyai wang tunai RM18 bilion pada akhir tahun 2017 termasuk RM8,914 juta dalam tangan dan RM7,749 juta dalam Akaun Simpanan Tetap (FD) bagi tempoh tiga bulan dan ke bawah. http://www.anm.gov.my/…/PENYATA%20KEWANGAN%20KERAJAAN%20PER…
Jelas beliau, kerajaan mengutip cukai pendapatan sebanyak RM130 bilion setiap tahun dan jika 10 tahun, ia berjumlah RM1.3 trillion.
“Jika benar RM16 bilion belum dibayar balik ia hanya 1 peratus daripada kutipan bagi tempoh 10 tahun,” tambah Najib.
Menurutnya, ada banyak sebab mengapa LHDN tidak dapat membayar balik termasuk faktor pekerja ataupun syarikat asing yang tidak lagi berada atau beroperasi di negara ini, syarikat yang sudah tutup ataupun orang yang tidak dapat dikesan.
Malah, kegunaan ‘set-off’ (tolak-selesai) untuk kredit cukai bukan sesuatu yang luar biasa dan sering digunakan dalam negara ini dan di luar negara.
Bagaimanapun Najib tidak menolak negara kekurangan hasil sebanyak RM31 bilion berikutan pengecualian cukai selama tiga bulan dan kekurangan pendapatan setiap bulan selepas pemansuhan GST dan digantikan dengan SST.
Besar kemungkinan bahawa selepas tiga setengah bulan, Guan Eng baru menyedari bahawa langkah “tax holiday” dan menukar dari GST ke SST adalah langkah yang tidak betul.
Disebabkan cara pengurusan ekonomi oleh kerajaan baharu yang tersasar, mereka kini menuding jari ke arah kerajaan BN sebagai selimut kepada kesilapan mereka sendiri.
Najib berkata, beliau tidak perlu layan dakwaan bermotif politik atau pun berdebat dengan orang yang mungkin tidak tahu polisi atau cara wang tunai kerajaan diuruskan. – MalaysiaGazette