KELANA JAYA – Bukan Parti Islam SeMalaysia (Pas) sahaja boleh menjuarai isu agama sebaliknya Pakatan Harapan (PH) juga telah terbukti memperjuangkan kepentingan umat Islam khususnya di Selangor sejak 2008 lagi.
Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar menegaskan, pihaknya bukan sahaja berkeupayaan membawa isu agama bahkan mampu menyelesaikan permasalahan dan kebajikan orang Islam.
“Bukan saya bermaksud menyindir, bukan Pas sahaja boleh bawa isu agama, kami PH pun banyak yang kami beri (bantuan) kepadsa sekolah tahfiz dan guru sekolah agama di mana elaun mereka dinaikkan.
“Jadi kita pun berkemampuan untuk kedepan mengetengahkan tentang isu-isu agama ini, malah isu Bumiputera pun kita perjuangkan
“Pihak sebelah sana dia boleh cakap apa saja, tapi perkara yang kita buat telah terbukti sebelum ini dan banyak kita beri,” katanya pada sidang media hariannya di Bilik Gerakan PH Seri Setia, di sini, hari ini.
Terdahulu Halimey memberi amaran kepada Pas khususnya calon PRK Seri Setia, Dr Halimah Ali agar tidak sewenang-wenangnya mendabik dada bahawa hanya mereka sahaja berhak bercakap mengenai Islam sepanjang kempen ini.
“Mereka harus sedar pihak yang lebih bertanggungjawab adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk mengendalikan hal-hal berkaitan autoriti keagamaan.
“Kerajaan Selangor yang diterajui PH telah membuktikan mereka adalah Kerajaan Berkebajikan berjaya menepati konsep fastabiqul khairat dalam setiap urusan pentadbirannya,” katanya.
Halimey berkata lagi, sebagai bukti, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah besar dana bagi kerja-kerja kebajikan menerusi pelbagai projek dan program yang dianjurkan secara berterusan.
“Sejak 2015 sehingga kini kerajaan PH Selangor telah membina 25 masjid baru di seluruh Selangor. Malah sebanyak RM208.8 juta juga diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi kerja pembinaan dan penyelenggaraan masjid di negeri ini.
“Selain itu, sebanyak RM16 juta juga diperuntukkan kerajaan negeri bagi membina tiga Maahad Tahfiz serta RM52 juta bagi pembinaan dua Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) di Pandan dan Bagan Lalan,” katanya.
Tambah Halimey, konsep fastabiqul khairat yang telah dilaksanakan khususnya di Selangor bukan sekadar cakap kosong atau retorik pilihan raya semata-mata.
“Jika itu belum cukup mencelikkan mata pihak yang suka menabur dakyah dan tohmahan, lihatlah pula kepada tindakan kerajaan Selangor dalam menaikkan elaun guru-guru Sekolah Rendah Agama (SRA) daripada RM745 kepada RM1,500 sebulan sejak 2008 lagi.
“Kenaikan elaun bulanan RM1,500 juga buat warga pendidik KAFA disambut baik dan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai pembentukan modal insan.
“Bukan sahaja elaun guru KAFA, malah peruntukan bagi penyelenggaran sekolah-sekolah KAFA juga diteruskan dengan penambahan berdasarkan keperluan setiap sekolah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette