KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Malaysia), pengeluar gula negara merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM30.14 juta pada separuh pertama yang berakhir 30 Jun lalu berbanding kerugian bersih RM56.07 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi positif ini disokong oleh penurunan kos gula mentah sebanyak 32.0 peratus berbanding pada separuh pertama 2017 dan peningkatan 10.2 peratus ringgit.
Pada suku kedua, MSM merekodkan pendapatan sebanyak RM573.22 juta, 17 peratus lebih rendah berbanding RM691.1 juta pada suku sama tahun lalu.
Ini adalah disebabkan oleh pengurangan 7.0 peratus dalam keseluruhan pengeluaran dan penurunan sebanyak 13 peratus dalam harga purata jualan purata berikutan berlaku penyeludupan gula dari negara-negara jiran yang membanjiri pasaran tempatan.
Perolehan sesaham (EPS) untuk setengah tahun pertama adalah pada 4.29 sen berbanding kerugian sesaham pada 7.98 sen pada tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan suku tahun semasa meningkat kepada RM14.33 juta berbanding kerugian tempoh yang sama selepas cukai sebanyak RM21.45 juta disebabkan oleh kos gula mentah yang lebih rendah, ringgit yang lebih kukuh dan pengurusan kos yang berhemah.
Walaupun ringgit lemah pada suku keempat tetapi berdasarkan kadar purata pasaran, mata wang tempatan mengukuh kira-kira 9.1 peratus pada suku kedua 2018 berbanding tempoh sama 2017.
Bergerak seiring dengan pertukaran asing yang menggalakkan, jumlah purata wajaran harga belian untuk MSM dalam suku kedua 2018 lebih rendah pada 3.9194 berbanding 4.3782 dalam tempoh sama tahun lalu.
“Kami meneruskan landasan pertumbuhan dalam enam bulan pertama tahun 2018. Perniagaan kami menunjukkan tanda-tanda ketahanan dan peningkatan keuntungan.
“Walau bagaimanapun, kita tetap berhati-hati dengan faktor luaran yang mempengaruhi harga gula mentah, ketidaktentuan pertukaran asing, lebihan gula global dan krisis perdagangan Amerika Syarikat-China,” kata Pengarah Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz.
Mengulas mengenai segmen operasi, Khairil Anuar berkata, pengeluaran gula halus menurun sebanyak 5.8 peratus berbanding 251,998 juta tan pada tempoh yang sama tahun lepas, selaras dengan jumlah jualan yang lebih rendah dalam segmen eksport.
Purata kos gula mentah turun sebanyak 31.8 peratus berbanding suku kedua tahun lalu, seiring dengan penurunan harga belian gula mentah.
“Keuntungan dari operasi meningkat dengan ketara dari suku kedua 2017 dan ia jelas menunjukkan tanda pemulihan mantap dan MSM berada pada landasan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” ujarnya.
Khairil Anuar berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung kenaikan kos operasi yang signifikan akibat kenaikan tarif elektrik dan gas asli yang lebih tinggi, harga minyak dan upah minimum yang akan memberi tekanan kepada prospek pendapatan MSM.
Beliau berkata, jualan pasaran domestik dijangka kekal berdaya saing dengan pertumbuhan terhad tahun ke tahun.
Manakala harga pasaran eksport terus mencabar hasil daripada kemelut gula global tetapi MSM terus memilih pasaran eksport dengan tumpuan terhadap pasaran premium yang tinggi. – MalaysiaGazette