KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan caj ubat sebanyak RM400 dikenakan terhadap pesakit kanser di hospital kerajaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata, RM400 bukan caj untuk sekotak ubat Tamoxifen atau ubat Letrozole sebagaimana yang disangkakan.
“Sebaliknya, ia adalah caj keseluruhan rawatan mengikut kitaran. Rawatan kepada pesakit tersebut merupakan rawatan berterusan yang mana caj yang dikenakan adalah bagi setiap empat minggu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Caj rawatan itu berdasarkan Garis Panduan Pengenaan Caj bagi Rawatan Anti-Neoplastik Berdasarkan bahagian 4, rawatan radioterapi dan Onkologi, Perintah Fi (perubatan) (pindaan) 2017 yang dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan KKM bertarikh 26 Januari 2017.
Dr Chen berkata, bayaran yang telah dikenakan terhadap Zieyla adalah Rawatan Radioterapi dan Onkologi di dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 iaitu kadar caj pesakit luar (rujukan kerajaan) bagi rawatan radioterapi dan onkologi serta perubatan nuklear di mana ia adalah berdasarkan caj pesakit luar iaitu sebanyak RM50 bagi setiap kali rawatan.
Dr Chen berkata bayaran keseluruhan yang dikenakan (termasuk perudingan, ubat dan kos tidak langsung) yang dikenakan kepada pesakit kanser di semua hospital kerajaan termasuk Institut Kanser Negara (IKN) adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kos rawatan yang seumpamanya di hospital-hospital swasta.
“Di samping itu, KKM ingin menyatakan hasil yang dikutip pada tahun 2017 daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan adalah sebanyak 2.64 peratus daripada kos yang ditanggung oleh kerajaan.
Justeru, persepsi sesetengah pihak bahawa hospital kerajaan mengaut keuntungan dari pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan adalah tidak benar dan tidak berasas,” katanya.
KKM menjelas secara terperinci bahawa caj bagi rawatan kanser atau onkologi yang terkandung dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982 telah dikaji semula dan pengemaskinian seperti dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 telah dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan KKM pada bulan Februari 2017. – MalaysiaGazette