Home Utama Tangani kartel , orang tengah jika serius tangani kos sara hidup

Tangani kartel , orang tengah jika serius tangani kos sara hidup

Dulu kita marah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) sebagai punca kenaikan harga kos sara hidup. Tetapi selepas GST disifarkan pun harga barang tidak turun, meskipun ada menteri yang mendakwaa ada barang turun. - Jacob George Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barang-barang mentah di negara ini disebabkan kartel dan orang tengah yang telah menguasai bekalan barang-barang sejak sekian lama.

Lantaran itu, kerajaan perlu mengatasi masalah ini dengan serius dan bersepadu agar rakyat Malaysia tidak lagi dibelenggu dengan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bulan depan.

Presiden Persatuan Pengguna Shah Alam dan Subang, Datuk Dr. Jacob George berkata, jika masalah itu tidak ditangani segera, rakyat akan terus dibelenggu dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi selepas 1 September ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George.
Dr Jacob George.

“Dulu kita marah GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) sebagai punca kenaikan harga kos sara hidup. Tetapi selepas GST disifarkan pun harga barang tidak turun, meskipun ada menteri yang mendakwaa ada barang turun.

“Pada saya selagi masalah pokok tidak ditangani, maka beban hidup akan terus menjadi cabaran rakyat Malaysia.

“Sebab itu, sejak dahulu lagi saya menyatakan kartel dan orang tengah ini perlu diselesaikan tetapi tiada siapa yang mahu melihat apa yang diperkatakan ini sebagai isu penting,” katanya kepada MalaysiaGazette.

George mempertahankan pendiriannya ini dan percaya kerajaan baharu akan turut dipersalahkan selepas ini sekiranya masalah kenaikan barangan tidak dapat diatasi.

“Ini kerana kartel dan orang tengah masih berada dalam sistem, jadi apa nak hairan kalau punca masalah belum dapat diselesaikan.

“Tukar kerajaan sudah, tukar sistem (GST kepada SST) pun sudah) tetapi pihak yang kuasai harga tak tukar,” ujarnya yang yakin harga barangan akan meningkat pada 1 September ini.

George turut melahirkan rasa kecewa kerana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih belum memanggil para pemegang kepentingan dan badan-badan pengguna untuk duduk berbincang tentang keperluan dan tindakan lanjut dalam mengatasi masalah kepenggunaan di negara ini.

“Kenapa tidak mahu panggil, duduk berbincang, bertukar idea demi pengguna, demi rakyat.

“Isu ini memerlukan kerjasama bersepadu memandangkan kementerian memerlukan ‘mata-mata’ untuk bersama-samanya,” kata George lagi. – MalaysiaGazette