Home Nasional Pas sokong ketegasan kerajaan tangani kes Kim Jong-nam

Pas sokong ketegasan kerajaan tangani kes Kim Jong-nam

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyokong ketegasan kerajaan dalam menangani kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu senada bahawa siasatan ke atas isu berkenaan perlu dilaksanakan dengan merujuk kepada undang-undang dan tatacara di negara pembunuhan itu berlaku.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar telah melaksanakan tangggungjawab dengan baik dalam menangani kes tersebut.

“Pas melihat isu ini mempunyai sudutnya yang tersendiri apabila wujudnya cubaan campur tangan dari pihak Korea Utara menerusi perwakilan mereka di Malaysia yang boleh memburukkan lagi suasana hubungan diplomatik yang ada pada waktu ini, sebagaimana yang dilaporkan oleh media massa dalam dan luar negara.

“Pas secara konsisten memperjuangan kedaulatan Malaysia dari sebarang pencerobohan dan gangguan dari mana-mana pihak.

“Isu geopolitik dan percaturan dalaman negara yang dikatakan terlibat adalah tidak wajar menjadi alasan mana-mana pihak dari Korea Utara untuk mengganggu siasatan yang sedang dijalankan secara bebas dan profesional oleh pihak PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.

Jong-nam yang merupakan abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un mati selepas seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang dipercayai mengandungi racun agen saraf VX.

Lelaki Korea itu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA2 pada 13 Februari lepas kerana menunggu penerbangan untuk menaiki pesawat ke Macau.

Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Lelaki itu tiba di Malaysia pada 6 Februari menggunakan pasport dengan nama Kim Chol. – MalaysiaGazette.