KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan mengurangkan kadar Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) sebagai langkah mengurangkan beban rakyat sejajar dengan kenaikan inflasi.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu perlu dibuat memandangkan kadar inflasi pada Januari tahun ini berada pada kedudukan 3.2 peratus, naik hampir 90 peratus berbanding Disember tahun lalu yang hanya berada pada tahap 1.8 peratus sahaja.
Menurutnya, menurunkan kadar GST sejajar dengan kenaikan kadar inflasi tidak akan mengurangkan nilai kutipan GST kepada kerajaan kerana harga barangan yang lebih mahal akan mengimbangi penurunan kadar GST.
“Beberapa penganalisis ekonomi telah meramalkan kadar inflasi akan terus naik, melebihi empat peratus pada tiga bulan yang akan datang.
“Ini bermakna harga barangan akan terus meningkat, rakyat yang sudah merana terpaksa lagi membayar lebih di bulan-bulan akan datang untuk segala jenis barangan konsumer.
“Apa pun, kerajaan perlu beringat bahawa kadar inflasi sebenar adalah lebih tinggi dan ia adalah realiti,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim menegaskan, kadar inflasi purata tidak menggambarkan keadaan sebenar yang dirasai rakyat marhaen kerana para peniaga tidak menaikkan harga barangan mengikut peratusan sebaliknya mengikut nilai sen.
“Umpamanya nasi lemak yang dijual RM2, tidak mungkin dinaikkan ke kadar RM2.08 mengikut kadar inflasi empat peratus, sebaliknya, akan dinaikkan harga 10 atau 20 sen yang bersamaan dengan lima peratus dan 10 peratus di sudut inflasi.
“Barangkali ini bukan berita buruk bagi kerajaan. Ini kerana harga barangan yang lebih tinggi bermaksud pungutan hasil GST juga akan meningkat.
“Sekiranya rakyat perlu membayar enam sen GST untuk harga satu barangan bernilai RM1, maka rakyat kini perlu membayar tujuh sen, jika harga barangan itu dinaikkan ke RM1.15 di pasaran,” ujar Tuan Ibrahim.-MalaysiaGazette