KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menafikan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki sikap tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri.
“Tidak, tidak,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada majlis pelancaran buku bertajuk Anwar Returns – The Final Twist di sini hari ini.
Turut hadir, Anwar dan barisan menteri Kabinet lain.
Timbalan Perdana Menteri itu diminta mengulas tanggapan segelintir pihak yang berpendapat Anwar sebagai seorang yang tidak sabar dan gila kuasa untuk mengambilalih jawatan Perdana Menteri ketika ini daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu dalam ucapannya, Wan Azizah berkata, tajuk buku itu telah ditukar daripada Final Play kepada Final Twist.
Jelas beliau, pertukaran Itu disebabkan dua perbezaan utama ketika pelancaran buku tersebut pada September 2015 dan senario hari ini.
“Hari ini Anwar telah dibebaskan daripada penjara. Sebelum ini, beliau masih dipenjara kerana dakwaan yang dibuat ketika siri kedua buku ini dilancarkan.
“Perbezaan seterusnya kerana ketika itu saya adalah pemimpin pembangkang dan hari ini saya adalah Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Wan Azizah juga kelihatan agak beremosi ketika memberi ucapan yang mengimbau penahanan Anwar ketika anak-anaknya masih kecil 20 tahun lalu.
Sementara itu, buku Anwar Returns: The Final Twist adalah hasil tulisan peguam jenayah berpangkat Queen’s Counsel (QC) Australia, Mark Trowell.
Buku siri ketiga itu melengkapkan naratif ranjau politik yang dilalui Anwar selama 20 tahun.
Buku pertama dihasilkan Trowell pada 2012 melalui Sodomy ll berkisarkan kes pendakwaan atas tuduhan liwat yang bukan sahaja mengaibkan dirinya dan keluarga namun turut membunuh karier politiknya.
Selepas itu, ia diikuti The Prosecution of Anwar Ibrahim: The Final Play pada 2015.
Trilogi buku itu kini lengkap dengan penerbitan Anwar Returns: The Final Twist.
Buku terkini itu bukan sahaja meliputi perbicaraan dan pendakwaan yang ditakrifkan oleh Anwar dan yang membawa kepada hukuman bersalah dan hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015, juga menceritakan perubahan politik yang melanda Malaysia yang berakhir dengan pembebasan bersejarahnya pada tahun 2018.
Trowell menggunakan pengalamannya sebagai pemerhati sepanjang kes pendakwaan Anwar dengan mengisi kesemua 400 muka surat The Final Twist, dilengkapi dengan pendapat dan pandangannya sendiri.
Selain seorang peguam jenayah terkemuka yang berpusat di Australia Barat, beliau adalah pengerusi bersama jawatankuasa pendirian undang-undang jenayah LAWASIA.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Trowell telah menjadi pemerhati antarabangsa bagi pihak LAWASIA, Persatuan Peguam Australia, Suruhanjaya Jurisdal Antarabangsa, Persatuan Peguam Komanwel dan Kesatuan Penyelaras Kesatuan.
Beliau juga mewakili kepentingan Kesatuan Antara Parlimen yang berpangkalan di Geneva. – MalaysiaGazette