Home Nasional Maszlee terima kritikan kerana ‘certot’

Maszlee terima kritikan kerana ‘certot’

Dr Maszlee Malik.
Dr Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerima kritikan netizen secara terbuka berhubung peraduan ‘certot’ anjuran kementeriannya.

Menurut beliau, perkataan certot tidak membawa sebarang konotasi tidak baik malah penggunaan akronim tersebut tidak menjadi kesalahan.

Katanya, perkataan itu diambil bagi merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan.

“Akronim ini saya ambil hasil bacaan saya melalui karya-karya sasterawan negara, khususnya Othman Puteh di dalam bukunya Teori Penulisan Kreatif.

“Jika hendak diikutkan, banyak lagi perkataan-perkataan baru yang dicipta oleh pengarang-pengarang tempatan tetapi masih tidak diwartakan di dalam kamus dewan.

“Saya mahu ia santai dan memudahkan kerana saya tahu, tidak semua rakyat Malaysia mampu menghasilkan sebuah cerpen. Tetapi semua rakyat Malaysia mampu menterjemahkan rasa cinta mereka terhadap negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Maszlee berkata, bahasa tidak seharus bersifat statik sebaliknya ia perlu berevolusi.

Malah kata beliau, melalui pembacaannya terhadap karya-karya penulis buku seperti Shahnon Ahmad dan Azizi Abdullah banyak istilah yang diperkenalkan oleh mereka telah diwartakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Katanya, istilah yang digunakan di utara juga berbeza dengan istilah di pantai timur dan itu menunjukkan evolusi berlaku.

“Pembinaan kamus dibuat melalui rakaman penggunaan dalam korpus.

“Maka, setiap kewujudan perkataan baru ditentukan kegunaannya oleh masyarakat.

“Sekiranya perkataan itu popular dan meluas digunakan, ia akan dimasukkan ke dalam kamus dewan,” ujarnya.

Justeru, Maszlee mengajak rakyat Malaysia membaca buku yang ditulis oleh pendeta Za’ba berjudul “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri” agar mereka dapat membuka minda dengan lebih luas. – MalaysiaGazette