Home Dunia Angka kematian seluruh India akibat banjir hampir 1,000 orang

Angka kematian seluruh India akibat banjir hampir 1,000 orang

COCHIN – Angka korban banjir besar yang melanda Kerala, India meningkat kepada 450 orang setakat ini selepas pasukan penyelamat menjumpai hampir 30 mayat ketika air mula surut.

Bagaimanapun, Times of India (TOI) melaporan, jumlah itu tidak termasuk negeri lain seperti Uttar Pradesh, Bengal Barat, Karnataka dan Assam yang turut merekodkan lebih 400 mangsa meninggal dunia selepas banjir besar melanda kawasan itu.

Ini sekaligus menjadikan hampir 1,000 orang maut akibat bencana yang dianggap antara bencana terburuk untuk tahun ini.

Walaupun air sudah surut di Kerala namun lebih sejuta penduduk masih lagi hidup bersesak dalam beberapa kem bantuan.

Ada yang sudah pulang namun berdepan ancaman baharu iaitu ular, kala jengking dan reptilia berbisa yang dikatakan bersembunyi di kediaman mereka.

BBC melaporkan, beberapa pasukan menangkap ular telah dikerahkan ke kawasan terjejas berikutan kebimbangan reptilia tersebut mungkin menjadikan ruang dalam almari, permaidani atau mesin basuh untuk me­nyembunyikan diri.

Hospital di kawasan yang terjejas juga sedang menyiapkan bekalan anti-bisa, malah beberapa hospital di utara dan tengah Kerala melaporkan peningkatan kes patukan ular.

Penduduk juga disarankan agar menggunakan tongkat untuk menggeledah barangan mereka kerana dikhuatiri terdapat ular atau serangga lain yang bersembunyi. – MalaysiaGazette