Home Ekonomi Transaksi pembayaran tanpa sentuh di R&R Dengkil

Transaksi pembayaran tanpa sentuh di R&R Dengkil

logo plus

KUALA LUMPUR – Pengunjung dan pemegang kad Visa payWave yang berhenti di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (arah utara) kini boleh membuat transaksi pembayaran tanpa sentuh apabila membuat pembayaran untuk makanan, minuman serta produk lain.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pembayaran tanpa tunai Visa membolehkan pengunjung menjalankan urusniaga tanpa tunai dengan lebih mudah, pantas dan selamat di kawasan rehat PLUS, bermula dengan R&R Dengkil itu.

“Dengan purata 62,000 kenderaan yang menggunakan laluan KLIA-Putrajaya setiap hari, sistem pembayaran tanpa sentuh ini dijangka dapat dimanfaatkan oleh orang ramai, khususnya pelancong yang baru mendarat di KLIA.

“Kami juga mensasarkan sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan transaksi di R&R Dengkil ini akan dilakukan menerusi pembayaran tanpa sentuh dengan Visa,” kata Azman.

Menurut beliau, transaksi tanpa sentuh mengggunakan Visa payWave ini bakal mengubah landskap urus niaga di R&R milik PLUS.

Katanya, penggunaan Visa payWave ini akan dapat diperluaskan lagi secara berperingkat di kawasan R&R PLUS yang lain.

Pelancaran pembayaran tanpa sentuh menggunakan teknologi Visa payWave bagi kad debit, kredit dan prabayar ini adalah usaha sama antara PLUS dan Visa Malaysia untuk mempromosi dan menggalakkan pembayaran tanpa tunai yang kini diterima secara meluas di seluruh dunia.

Tambahnya, sehingga 30 November ini, pemegang kad Visa payWave juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM1 bagi setiap pembelian minimum RM2 di kawasan R&R ini. – MalaysiaGazette