PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Malaysian Airline System Bhd (MAS) untuk menyediakan dokumen berkaitan penerbangan MH370 kepada 76 waris penumpang pesawat berkenaan.
Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan MAS untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 8 Sept tahun lepas.
“Kami dapati tiada sebab mendesak atau substantif untuk mengganggu perintah Mahkamah Tinggi yang dibuat berdasarkan pertimbangan,” katanya.
Beliau berkata tiada kekhilafan oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam membuat keputusan mengikut pertimbangannya.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof, memerintahkan MAS supaya membayar kos RM10,000.
Waris 32 penumpang memohon untuk mendapatkan 37 dokumen, termasuk komunikasi, koresponden, dokumen dan bahan lain, nota, memorandum, dokumen dalaman dan laporan penyiasat, yang mempunyai kaitan dengan penerbangan MH370.
Anggota keluarga terdiri daripada 66 warga China, lapan warga India dan dua warga Amerika Syarikat, mengambil tindakan undang-undang terhadap MAS, Malaysian Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerajaan, kerana didakwa cuai dan melanggari tugas.
Mereka memohon ganti rugi khas, ganti rugi am, kos perkabungan dan kos lain.
Penerbangan Kuala Lumpur-Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal diisytiharkan hilang selepas lenyap daripada paparan radar pada 8 Mac 2014.
Peguam Saranjit Singh mewakili MAS manakala peguam Tommy Thomas mewakili anggota keluarga penumpang.
Peguam kanan persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili DCA, TUDM dan kerajaan. – MalaysiaGazette