Home Utama Pengecualian GST ke atas kad tambah nilai prabayar kekal

Pengecualian GST ke atas kad tambah nilai prabayar kekal

Kebanyakan tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melepasi proses semakan dan mula dibayar balik secara berperingkat sehingga akhir tahun, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri T.Subromaniam. 
Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula,
PEKAN –  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (GST) terhadap kad tambah nilai prabayar akan terus dikekalkan pada tahun depan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langkah tersebut diambil untuk meringankan bebanan rakyat kerana menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya golongan belia bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar (kad prabayar) itu.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat GiatMara Pekan di Bandar Peramu di sini.

Kerajaan di bawah langkah penambahbaikan GST pada akhir tahun lepas telah mengecualikan caj GST terhadap kad tambah nilai prabayar telefon bermula 1 Jan lepas sehingga 31 Dis ini.

Sementara itu Najib menafikan jadual padat beliau di Pekan hari ini ada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Tak… tak…Saya balik ke Pekan hari ini tujuan untuk menjalankan tugas sebagai Anggota Parlimen, meninjau sejauh mana keberkesanan dasar dan program kerajaan sama ada sampai kepada kumpulan sasar.

“Saya dapat saksikan hari ini program yang dilaksanakan oleh kerajaan sememangnya dapat mengubah keadaan hidup rakyat di kawasan Pekan dan seluruh negara seperti projek untuk membina rumah-rumah bagi menangani masalah kemiskinan di bandar umpamanya,” katanya.

Najib yang menjadi Anggota Parlimen Pekan sejak 1976 mempunyai jadual lawatan yang padat hari ini dengan menghadiri sembilan program sejak pukul 10 pagi. Program terakhir beliau adalah pada 7.30 malam ini iaitu makan malam bersama Persatuan Cina Pahang di Hotel Zenith, Kuantan.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata krisis di Aleppo, Syria memerlukan usaha penyelesaian secara politik kerana sekiranya pertembungan berlaku berterusan, ia akan memberi kesan buruk kepada orang awam.

“Kita memang berasa sedih peristiwa di Aleppo, sangat menyayat hati bukan sahaja dalam kalangan orang Islam tetapi juga bukan Islam. Ia merupakan satu masalah krisis kemanusian begitu dahsyat,” katanya.

Sehubungan itu, perdana menteri meminta kuasa barat turut serta memikirkan cara menyelesaikan masalah berkenaaan.

“Tidak akan ada pihak yang menang dalam krisis ini, cuma yang ada pihak yang akan menerima kesan buruk daripada konflik di Syria ini,” katanya.

Menyentuh tentang lawatannya di Pusat GiatMara Pekan hari ini, Najib berharap institusi berkenaan dapat menyediakan kursus kulinari dan beliau menyatakan kesediaan untuk menambah peralatan serta kelengkapan yang diperlukan.

Beliau berkata institusi pendidikan seperti Pusat GiatMara penting kerana dapat membangunkan kemahiran dan memberi masa depan yang lebih terjamin kepada peserta kursus.

Terdapat enam bidang latihan disediakan di GiatMara Pekan iaitu ‘Pattern Cutting and Garment Production’, ‘Fashion Drawing and Design’, Gaya Rambut dan Terapi Kecantikan, Teknologi Automatif, Pendawaian Elektrik dan ‘Fashion and Dressmaking’.

— BERNAMA