Dewan Negara hari ini dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali kedua sebelum undian dibuat untuk memansuhkan akta berkenaan.
Mansuh atau sebaliknya, bergantung kepada peranan 32 daripada 70 Senator penyokong Barisan Nasional (BN) yang dilihat berharap akta itu dikekalkan demi kesejahteraan rakyat walaupun langkah pemansuhan itu adalah sebahagian daripada janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu terhadap undang-undang sedia ada yang menindas rakyat di negara ini.
Sebelum ini, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beberapa akta seperti Anti-berita Tidak Benar 2018, Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 akan dihapuskan kerana bersifat zalim dan menindas rakyat.