Home Nasional BR1M pelampung golongan B40, kata pakar ekonomi

BR1M pelampung golongan B40, kata pakar ekonomi

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak praktikal walaupun kerajaan memberi jaminan untuk meningkatkan peluang pekerjaan.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, adalah tidak wajar kerajaan Pakatan Harapan melenyapkan salah satu cara rakyat golongan berpendapatan rendah mendapatkan bantuan tanpa menggantikannya denganskim yang lebih berkesan.

“Kita perlu ada satu skim lain mengganti BR1M yang lebih baik dari segi kesan kepada kumpulan yang sangat memerlukan, mungkin tidak sebesar yang diliputi BR1M kerana setengah penerima yang tidak sepatutnya menerima BR1M, jadi cabarannya mewujudkan skim.

“Ini merupakan strategi jangka pendek ,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memansuhkan BR1M sepenuhnya.

Pemansuhkan itu akan dimulakan dengan mengurangkan jumlah BR1M.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memperkenalkan bantuan itu kesal terhadap keputusan tersebut sambil menafikan BR1M bertujuan untuk mendapat sokongan, sebaliknya ia diagihkan kepada semua isi keluarga yang layak tanpa mengira fahaman politik.

Menyifatkan BR1M relevan kepada kumplan isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 dengan kos sara hidup melebihi RM2,500 setiap bulan, Barjoyai berpendirian skim yang menggantikan bantuan itu kelak hanya perlu diperketatkan.

“BR1M merupakan satu bentuk bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan sebab kumpulan ini yang kurang RM3,000 pendapatan mereka sekarang ini dalam keadaan lemas maknanya tenggelam timbul kerana pendapatan mereka tidak mencukupi menampung perbelanjaan mereka.

Mereka lihat BR1M pelampung walaupun jumlahnya kecil tapi merupakan bantuan,” tambah beliau.

Ujarnya, peluang pekerjaan sambilan perlu dicetuskan bagi membantu rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.

“Jangka panjang perlu ada satu mekanisme mencari satu sumber pendapatan baru kepada golongan ini melalui pekerjaan sambilan, perniagan sambilan dari rumah dan peningkatan kemahiran untuk tingkatkan kemahiran dan karier,” kata beliau. – MalaysiaGazette