KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sah secara rasmi berkuat kuasa 1 September ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan sebentar tadi memberitahu, pihaknya telah mendaptkan perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 24 Ogos lepas.
Jelas Guan Eng, ini sekaligus bermakna SST boleh dikuatkuasakan pada 1 September ini dengan pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) baru-baru ini.
“Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V kerana telah memperkenankan pelaksanaan SST selari dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam mendukung janji manifesto pilihan raya lalu.
“Dengan pelaksanaan SST yang bakal diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan juga berharap inisiatif ini dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya akan dapat mengutip RM21 bilion di bawah SST berbanding GST dengan kutipan RM44 bilion pada 2019,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menyeru kepada pengausa perniagaan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain daripada segera mendaftar perniagaan mereka dengan SST.
“Langkah ini bagi memastikan tiada lagi penguasaha mengambil kesempatan selain kerajaan dapat mengekang kenaikan harga barangan yang akhirnya memberi tekanan kepada rakyat jelata.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memantau selain mengambil tindakan ke atas sebarang aktiviti percatutan,” tegasnya. – Malaysia Gazette