KUALA LUMPUR – Seorang lagi individu wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki turut terlibat dalam salah guna wang dana milik Kerajaan Malaysia bagi peruntukan Pilihan Raya Umum ke 14, hari ini.
Wanita itu merupakan bekas ketua pengarah di sebuah bahagian di Jabatan Perdana Menteri.
Menurut sumber SPRM, suspek wanita yang berusia 61 tahun yang bergelar Datuk ditahan pada pukul 4.15 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita tersebut terlibat bersama-sama tujuh lagi pegawai kanan yang direman hari ini kerana telah menyalahgunakan wang peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Azam Baki mengesahkan tangkapan suspek wanita tersebut.
Katanya suspek itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette