Home Ekonomi 5 bilion pengguna telefon bimbit 2017

5 bilion pengguna telefon bimbit 2017

Gambar hiasan

BARCELONA – Jumlah pengguna telefon bimbit di seluruh dunia akan melepasi lima bilion pada pertengahan tahun ini, menurut satu kajian yang dikeluarkan oleh GSMA, Persatuan Operator Mudah Alih.

Dengan penduduk di Asia, dan terutamanya India yang meningkat, jumlah pengguna seramai 4.8 bilion pada tahun lalu, dijangka melonjak kepada 5.7 bilion, atau tiga suku daripada penduduk dunia pada tahun 2020.

Asia akan menyumbang separuh daripada jumlah pertumbuhan, menurut laporan ‘Mobile Ekonomy’ GSMA, dengan India menambah 310 juta pelanggan baru dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kajian juga menunjukkan trend ke arah rangkaian jalur lebar mudah alih dan telefon pintar, kata laporan yang mengetengahkan sumbangan industri mudah alih semakin berkembang dengan aktiviti ekonomi dan pembangunan sosial.

“Mudah alih adalah satu platform global yang pada hari ini menyokong dua pertiga daripada penduduk dunia, menyampaikan hubungan dan infrastruktur yang menjanakan ekonomi digital baru serta menangani cabaran sosio-ekonomi,” kata Mats Granryd, Ketua Pengarah GSMA.

“Laporan ‘Mobile Ekonomy’ terkini mendedahkan bagaimana peluasan telefon pintar dan sambungan berkelajuan tinggi membolehkan inovasi dalam bidang-bidang seperti kecerdasan buatan dan memacu transformasi digital,” tambah Granryd, memetik pelaburan trilion dolar dalam rangkaian global sejak 2010.

Pelaburannya menjadikan sektor telekomunikasi menguasai 4.4 peratus daripada KDNK dunia bernilai AS$3.3 trilion pada tahun lalu, meningkat 4.9 peratus pada tahun 2020 kepada AS$4.2 trilion.

Menurut laporan itu, ekosistem mudah alih tahun lalu mengambil sejumlah 28.5 juta pekerja  secara langsung atau tidak langsung dan jumlah itu akan meningkat kepada 30.9 juta pada tahun 2020.

Ia berkata, sektor itu akan menyumbang AS$500 bilion dalam cukai pada tahun 2020, sehingga AS$450 bilion tahun lalu, tidak termasuk pendapatan daripada lelongan spektrum, bernilai hampir $ 19 bilion pada 2016. – MalaysiaGazette