Home Nasional Jangan lencong soal iktiraf LGBT – Mujahid

Jangan lencong soal iktiraf LGBT – Mujahid

Dr Mujahid Yusuf Rawa
Dr Mujahid Yusuf Rawa

KUALA LUMPUR – Semua pihak diberi amaran supaya tidak melencongkan maksud sebenar di sebalik isu tandas dan pemberian peruntukan usahawan untuk golongan LGBT.

Menterinya di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu hanya cadangan bertujuan merawat dan mengeluarkan mereka daripada terus terjebak dalam industri seks di negara ini.

“Saya minta isu tandas ini jangan dilencongkan kepada soal mengiktiraf kerana tiada arahan rasmi pun, ia hanya dijawab secara spontan dalam sidang media.

“Ada pun timbalan menteri saya dalam temubual di radio IKIM juga tidak mengatakan isu itu satu keputusan, perkara itu perlu dibincang. Takkan kita sebagai kerajaan, benda realiti depan kita tak boleh bincang.

“Saya harap pihak yang bertanya berkali-kali walaupun dijawab berkali-kali tapi nak bagi gambaran kepada orang kononnya kita iktiraf LGBT.

“Saya minta Tan Sri Speaker jawapan saya diterima dengan penuh tanggungjawab dan dijelaskan di luar sana juga dengan penuh tanggungjawab,” katanya pada sidang Dewan Negara, di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husain Awang meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan saranan membina tandas khas dan pemberian peruntukan program keusahawanan yang dilihat seolah-olah mengiktiraf golongan itu.

Mujahid juga menegaskan, kerajaan tidak pernah mengiktiraf golongan songsang itu pihaknya melalui Jabatan Agama Kemajuan Islam (JAKIM) sebelum ini menyediakan program berkenaan.

Jelasnya, program itu bertujuan untuk menyantuni dan merawat golongan LGBT kembali kepada ajaran Islam sebenar termasuk melibatkan mereka dalam keusahawanan.

“Mungkin yang bertanya tidak sedar bahawa 80 peratus daripada kelompok transgender terlibat dalam industri seks dan ini amat mengecewakan.

“Tujuan kita mendekati mereka lebih utama untuk keluarkan mereka daripada industri ini yang mana kebanyakan kita mengabaikan soal ini.

“Kita beri mereka satu usaha supaya berdikari bukan bermakna kita mengiktiraf mereka tapi kita keluarkan mereka daripada satu industri yang begitu jijik,” katanya.

Katanya lagi, sebagai kerajaan dan seorang Islam yang bertanggungjawab, usaha menyelamatkan golongan ini menjadi kewajipan untuk diperbetulkan.

“Sebagai seorang Islam bertanggungjawab menyelamatkan manusia daripada kancah yang hina ini. Itu sikap yang kita ambil,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau bersama enam wakil kementeriannya tidak pernah menyebut soal tandas ketika melakukan perjumpaan dengan golongan itu di Putrajaya, baru-baru ini.

“Siapa yang hadir dalam perjumpaan itu, saya dan enam mata saja. Mana mungkin orang yang tidak hadir itu tahu apa yang saya bincangkan.

“Saya berbincang dalam soal bagaimana sikap Kerajaan PH hari ini bahawa walaupun kita kita tidak sokong atau tidak iktiraf, tapi hak sebagai warganegara tidak disakiti, aniaya, itu tanggungjawab mana-mana kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette