Home Utama Najib bimbang pelantikan Petron ada konflik kepentingan

Najib bimbang pelantikan Petron ada konflik kepentingan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada Majlis Santai Merdeka anjuran Charm dan Pemantau Malaysia Baru di Tamn Botani, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 31 OGOS 2018
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir pada Majlis Santai Merdeka anjuran Charm dan Pemantau Malaysia Baru di Tamn Botani, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 31 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bimbang timbul konflik kepentingan akan berlaku atas perlantikan syarikat Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) sebagai pembekal minyak petrol dan diesel kenderaan Kerajaan Persekutuan.

Ujarnya, langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu dilihat canggung kerana umum mengetahui pemilik syarikat berkenan adalah anak kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sudah tentu timbul soal pemilik Petron yang boleh menjadi konflik dari segi keputusan dari sudut moral,” katanya ketika ditemui media pada majlis perkelahan santai bersama beliau dan Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Botani Perdana hari ini.

Beliau yang tiba jam 9 pagi tadi turut mesra melayan kira-kira 150 pengunjung dan para tetamu beliau.

Datuk Seri Mirzan Mahathir ialah ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina. Beliau dipilih sebagai pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan memegang 1,000 saham.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada 3 Ogos lalu menyatakan Petron bukan pembekal tunggal minyak petrol dan diesel bagi kenderaan rasmi kerajaan.

Menurut kenyataan itu, Petronas dan Shell masih lagi menjadi pembekal minyak petrol dan diesel sejak 1997 untuk kegunaan kenderaan kerajaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, Petronas patut diberikan hak pengedar tunggal kerana syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh negara.

“Petronas merupakan sebuah syarikat yang sudah menjadi kebangsaan negara jadi akan timbul persoalan mengapa syarikat yang berjaya di peringkat antarabangsa lebih kepada 40 negara tidak dapat menjadi pembekal tunggal kepada kenderaan kerajaan.

“Itu yang berlegar kepada banyak minda rakyat Malaysia hari ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette