KUALA LUMPUR – Kenapa tidak diberikan kepada Petronas sahaja? Sepatutnya Petronas diberi keutamaan. Ia adalah GLC, kata Datuk Puad Zakarshi.
“Petronas selamanya memberikan hasil dan dividen kepaa kerajaan. Menambah satu lagi syarikat kroni sebagai pembekal menyebabkan hasil Petronas semakin kurang. Sedangkan Tun M masa membangunkan KLCC dan F1 dulu pun gunakan Petronas,” kata bekas pemimpin UMNO itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas keputusan Kementerian Kewangan semalam mengenai pelantikan Petron dan Shell sebagai pembekal petrol dan diesel kepada kenderaan kerajaan Persekutuan.
Puad seterusnya memberitahu, sebelum ini dia mencadangkan tagline untuk Kerajaan PH ialah ‘Munafik & Nepotisme’ dan mengatakan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohada ada sindrom ISA (Ikut Suka Aku).
Namun dalam kes terbaru (pelantikan Petron) membuktikan menteri ketandusan moral dan integriti manakala Majlis Penasihat Kerajaan pula merestui kroni kapitalisme bermaharajalela.
“Bagaimana Petron antara yang terpilih? Apatah lagi Tun M baru tiga bulan jadi PM. Itu melibatkan syarikat anaknya. Semalam harga saham Petron naik memuncak 80 sen. SPRM wajar masuk menyiasat,” tegas beliau.
Tindakan terbaru kerajaan PH itu juga didakwa mencabar inteligen rakyat yang dijanjikan ketelusan dan menolak nepotisme.
“Kes terbaru ini umpama rompakan di siang hari. Beberapa hari selepas PRU 14, OPCOM Holding (Mokhzani Mahathir adalah Pengerusi/CEO) dapat kontrak dari Telekom Malaysia bernilai RM11.6 juta.
“Apakah selepas ini Marina Mahathir pula dapat kontrak kerajaan. Apakah yang boleh dilakukan oleh rakyat?” soalnya.
Justeru, katanya, langkah terbaik ialah boikot minyak Petron.
“Lagi pun Petron bermula melalui syarikat arak San Miguel di Filifina. Dulu Rafizi (Ramli) pernah mencadangkan kempen boikot minyak Petron. Manakala Awnar pula pembidas kuat penguasaan syarikat arak tersebut yang membeli ESSO sebelum ditukar kepada Petron,” kata Puad.- MalaysiaGazette