BALAKONG – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tidak perlu mewujudkan situasi ‘tikam menikam’ untuk membantu calon Pakatan Harapan (PH) berkempen.
Sebaliknya, pemimpin DAP itu harus berfikir bagaimana cara hendak menyelesaikan beban yang dihadapi rakyat ketika ini, kata calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balakong, Tan Chee Teong.
Menurut beliau, sebagai pembangkang, MCA akan memastikan setiap perkara yang dilakukan oleh kerajaan menepati manifesto meskipun sekarang ini banyak pusingan u dilakukan oleh pemimpin kerajaan.
“Saya tidak mahu bertikam lidah, itu akan susahkan rakyat, jadi sebagai parti konstruktif mesti lakukan apa yang terbaik untuk rakyat.
“Itu paling penting, sekarang kalau dua sistem parti ini masih tikam-tikam tidak konstruktiflah,” katanya ketika ditemui semasa berkempen menemui penduduk di Bandar Tun Hussein Onn di sini hari ini.
Chee Teong berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Gobind pada sesi ceramah PH sempena PRK Balakong di sini malam tadi.
Dalam ceramah itu, Gobind menuduh MCA tidak mempertahankan hak rakyat walaupun pelbagai penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan wang dilakukan oleh kerajaan terdahulu yang dianggotai parti itu.
Malah katanya, MCA bukan sahaja membisu dalam hal seperti skandal 1MDB, sebaliknya bertindak mencemuh PH bermain politik apabila membongkarkan perkara itu.
Gobind turut berkata, langkah MCA untuk bertanding atas benderanya sendiri kali ini juga menunjukkan bahawa parti itu kini malu untuk dikaitkan dengan Barisan Nasional dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas lanjut, Chee Teong berkata, beliau tidak akan menjawab apa yang diperkatakan oleh Gobind itu dan menyerahkan perkata tersebut kepada MCA pusat.
Katanya, dalam pertandingan merebut kerusi DUN di Balakong cadangan yang sesuai untuk kebaikan dan kebajikan rakyat di kawasan itu adalah perkara terbaik untuk dibincangkan.
“Saya tak akan campur tangan dalam hal ini. Kalau boleh saya tak mahu jawab. Jawab pun soalan yang baik tak baik saya tak mau jawab.
“Kalau tanya saya, macam mana nak bangunkan kawasan ini, saya jawab semua soalan sebab semua kawasan dalam otak. Sebagai YB, kalau dalam hati ada rakyat, semua boleh selesai masalah,” ujarnya. – MalaysiaGazette