KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut setelah terjatuh dari bangunan pangsapuri Sri Aman, Jinjang Utara, pukul 10.50 pagi tadi.
Lelaki berusia 52 tahun dan tidak bekerja itu merupakan penghuni di pangsapuri berkenaan dan mengalami masalah mental.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, selain pecah kepala beberapa bahagian badan seperti tangan kiri dan kanan serta kaki kiri mangsa patah akibat jatuh dari tingkat 17 bangunan tersebut.
“Manga yang mengalami masalah mental sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan serta rawatan susulan di Klinik Jinjang sejak 2012.
“Tiada apa-apa keraguan berkaitan jenayah dalam kes ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Munusamy berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – MalaysiaGazette