PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya hari ini disifatkan sebagai program berjaya oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Kata beliau, ini kerana kali pertama sambutan kali ke-61 itu diraikan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
“Kali pertama kita meraikan Hari Kebangsaan ini di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang dan berharap lebih terbaik pada tahun depan.
“Sambutan di Putrajaya lebih unik kerana kita boleh nampak sendiri betapa teruja orang ramai yang membanjiri dataran ini mencecah ratusan ribu dengan kawasan yang begitu luas dan selesa.
“Kita memiliki banyak opsyen dan sambutan pun begitu sukses dan daripada segi lokasi saya rasa idea yang bagus jika sambutan terus dikekalkan di sini pada tahun depan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas upacara Perbarisan dan Perarakan pagi ini.
Lebih 15,000 peserta kontinjen mencakupi empat komponen utama iaitu kenegaraan, Ketenteraman Awam, Keselamatan Negara dan Komponen Rakyat Bersepadu yang dirasmikan dengan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V pukul 8 pagi tadi.
Pun begitu dalam hal penganjuran sambutan perbarisan, beliau mengakui menerima pendapat sebilangan orang yang mahu ia dikembalikan ke Dataran Merdeka semula tahun depan.
“Tetapi kita belum pasti lagi sama ada ia akan kekalkan di Putrajaya atau tidak.
“Namun acara pada hari ini sangat memberangsangkan dan berjaya seperti yang diharapkan dan boleh diperbaiki lagi supaya menjadi lebih menarik pada tahun akan datang,” ujar beliau.- MalaysiaGazette