BALAKONG – Parti DAP dianggap mahu mengembalikan era Mahathirisme apabila tidak berani bersuara untuk menentang dua perkara yang pernah dibantah ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
Kedua-dua perkara itu ialah pelantikan syarikat Petron sebagai salah satu pembekal minyak kenderaan kerajaan dan projek kereta nasional ketiga, kata calon MCA Tan Chee Teong.
Menurut beliau, DAP telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan mereka harus membeeri laluan kepada pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang demi kebaikan rakyat.
“Apa telah terjadi kepada semak dan imbang di antara parti-parti Pakatan Harapan (PH)?
“Sebelum ini, Wong Siew Ki (calon PH) memandang rendah peranan pembangkang, dan mengatakan bahawa Pakatan Harapan mampu melaksanakan semak dan imbang sendiri secara dalaman kerana semua parti sama taraf.
“Akan tetapi, kesemua enam menteri, enam timbalan menteri dan 42 ahli Dewan Rakyat DAP telah membisukan diri terhadap pelantikan syarikat minyak Petron yang ada kaitan dengan anak Perdana Menteri sebagai pembekal minyak kenderaan kerajaan dan juga mendiamkan diri mengenai projek kereta nasional ketiga. Ini secara langsung telah membolehkan kembalinya era Mahathirisme,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Che Teong berkata, DAP wajar diingatkan bahawa semasa menjadi pembangkang dahulu, parti itu telah membantah dasar perlindungan yang diberi kepada kereta buatan tempatan, dan amalan kronisme di bawah era Tun Mahathir.
“Nampaknya DAP telah menukarkan pendirian mereka selepas menjadi kerajaan, dan tidak berani menyuarakan bantahan lagi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa calon PH, Wong Siew Ki menjelaskan mengapa DAP gagal membantah pembinaan projek kereta nasional ketiga oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan keputusan kerajaan untuk melantik Petron sebagai salah satu pembekal minyak kenderaan kerajaan.
Tegasnya, jika Siew Ki gagal berbuat demikian ia bermakna calon PH tidak mampu membawa perubahan dan pemilihannya sebagai ADUN jika menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), 8 September nanti hanya diibaratkan sebagai setitik air dalam lautan.
“Sebaliknya, jika pengundi memilih seorang pembangkang sebagai wakil rakyat mereka, ia mampu memperkuatkan semak dan imbang dalam kerajaan dan memastikan kerajaan tidak membuat kesilapan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette