BALAKONG – “DAP datang lima tahun sekali..saya datang setiap kali, masalah sampah tak selesai lagi,”.
Itu keluhan calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Balakong, Tan Chee Teong yang melihat nasib di kawasan itu, khususnya lebih 1,200 keluarga Flat Seri Pulai Taman Balakong Jaya, berdepan masalah sampah kronik.
Chee Teong meminta pengundi dalam kalangan masyarakat India dari perumahan itu supaya membuat keputusan yang bijak padsa Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong 8 September ini.
“Saya sedih dan kecewa dengan kerajaan negeri Selangor serta Pihak Berkuasa Tempatan di sini yang gagal mengambil peduli permasalahan serius yang dihadapi rakyat di sini.
“Masalah sampah tidak selesai lagi malangnya keadaan bertambah teruk dan penduduk diancam wabak denggi dan tetamu berbisa tak diundang di kawasan perumahan setiap hari.
“Saya rasa tiba masanya anda selaku pengundi membuat keputusan selepas dua penggal menjalani kehidupan di bawah wakil rakyat kerajaan negeri yang mengabaikan kebajikan serta permasalahan anda semua 8 September ini nanti,” katanya dalam perjumpaan bersama lebih 200 pengundi India di Perumahan Seri Pulai Balakong Jaya hari ini.
Majlis itu merupakan sebahagian program kempen calon bersama pengundi anjuran MIC Balakong dan Negeri Selangor yang turut dihadiri wakil rakyat Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Tambah Chee Teong, dia mahu memastikan penduduk berbilang kaum khususnya masyrakat India yang banyak memerlukan pemerhatian serius dalam pembangunan akan dibela jika diberi peluang mewakili mereka.
“Banyak yang dijanjikan masih belum ditunaikan kerajaan negeri khususnya penduduk Balakong yang dianaktirikan dalam semua aspek dan ia tidak seharuskan dibiarkan begitu sahaja.
“Saya mahu memastikan semak dan imbang kerajaan negeri ini terhadap masyarakat di negeri ini terutama di Balakong tidak terabai.
“DAP datang lima tahun sekali, saya datang setiap kali tetapi masalah sampah tidak selesai lagi,” katanya.
Ka Siong berkata, beliau mengakui pengundi dalam kalangan masyarakat India menerima tempias teruk ekoran kegagalan kerajaan negeri melaksanakan program kebajikan yang dijanjikan.
“Saya yakin Thee Cheong mampu membawa setiap permasalahan anda disamping memastikan kerajaan negeri Pakatan Harapan semak dan imbang.
“Dia penting untuk menjadi pembangkang yang telus dan mewakili suara anda semua, dan berilah peluang kali ini selepas dua penggal di bawah DAP,” tegasnya.- MalaysiaGazette