KUALA LUMPUR – Pelantikan Petron Fuel International Sdn. Bhd. (Petron) tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, pemilihan Petron sebagai salah satu pembekal bahan api kenderaan kerajaan dilakukan tanpa campur tangan politik.
Sebaliknya, kementerian itu mempertahankan bahawa keputusan berkenaan dibuat secara pentadbiran untuk urusan operasi.
Menurut kementerian itu, Petron hanya dilantik ke dalam panel tersebut pada tahun ini selepas rundingan dua tahun dijalankan.
“Petron telah membuat permohonannya pada tahun 2016 dan pada Disember 2017, syarikat tersebut telah bersetuju memberikan Kerajaan Persekutuan penjimatan kecil melalui program kad indennya.
“Rundingan yang bermula di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron dan Kerajaan Persekutuan terbaharu hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas yang sedia ada,” ujar kenyataan itu.
Malah, katanya, kebenaran ke atas permohonan Petron juga tidak memakan apa-apa kos kepada Kerajaan Persekutuan dan proses dalaman ini tidak memerlukan kebenaran Menteri Kewangan.
Pelantikan ke dalam panel ini adalah telus dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu yang terlibat dalam politik.
Kenyataan itu dibuat bagi menjawab kritikan oleh Najib dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man tentang pelantikan Petron sebagai pembekal bahan api kenderaan kerajaan.
Kementerian Kewangan berkata, Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex juga boleh memohon untuk menjadi ahli panel sekiranya mereka berminat.
Pihak Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis
panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron.
Tambahnya, jumlah anggota tidak dihadkan oleh Kementerian Kewangan dan ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan Kerajaan Persekutuan penjimatan munasabah melalui kad inden.
Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh Kementerian Kewangan daripada mana-mana
syarikat pembekal bahan api yang lain.
Najib berkata, pelantikan Petron akan menimbulkan konflik kepentingan memandangkan syarikat itu terkait anak Perdana Menteri, Mirzan Mahathir.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan mengapa lantikan sama tidak dilakukan terhadap BHP dan Caltex memandangkan dua syarikat itu turut mempunyai bilangan stesen yang sama seperti Petron.
Manakala, Tuan Ibrahim pula berkata, pelantikan Petron mengingatkan semula rakyat Malaysia terhadap amalan nepotisme yang pernah berlaku pada satu ketika dahulu. – MalaysiaGazette