SINGAPURA – Harga minyak Brent susut dalam dagangan hari ini ekoran peningkatan bekalan daripada OPEC dan Amerika Syarikat.
Niaga hadapan Brent didagangkan kepada AS$77.59 setong, susut AS$0.05 berbanding harga penutup.
West Texas Intermediate pula berharga AS$69.81 setong, pada asasnya ia tidak berubah.
Pengeluaran daripada OPEC meningkat sebanyak 220,000 tong sehari antara Julai dan Ogos, ke paras tertinggi 2018 sebanyak 32.79 juta tong.
Peningkatan itu didorong oleh pemulihan dalam pengeluaran Libya dan ketika eksport selatan Iraq mencapai rekod.
Sementara itu, penggerudian minyak Amerika Syarikat menambah pelantar minyak untuk pertama kalinya dalam tempoh tiga minggu sebanyak dua unit kepada 862, menurut firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes.
Pertambahan itu membantu meningkatkan pengeluaran minyak mentah Amerika Syarikat lebih daripada 30 peratus sejak pertengahan 2016, hingga 11 juta tong.
Namun, Stephen Innes, Ketua Perdagangan untuk Asia-Pasifik OANDA berkata, kedudukan Brent disokong oleh tanggapan sekatan Amerika Syarikat terhadap eksport minyak Iran akan membawa kepada pasaran yang terbatas, yang mana akan memberi tekanan kepada kenaikan harga.
“Pengeluaran Iran sudah menunjukkan tanda-tanda penurunan, jatuh sebanyak 150,000 tong sehari bulan lepas,” kata Edward Bell, penganalisis komoditi di NBD bank di Dubai.
Ramai penganalisis telah memberi amaran bahawa kelembapan ekonomi akan berlaku ekoran pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan ekonomi utama lain termasuk China dan Kesatuan Eropah bakal memberi kesan kepada permintaan minyak. – MalaysiaGazette