KAJANG – Calon MCA, Tan Chee Teong membalas serangan Wong Siew Ki di atas tuduhannya terhadap parti berkenaan berhubung taktik merayu undi bagi meraih simpati ketika berkempen.
Menurutnya, calon Pakatan Harapan (PH) itu tidak faham cara berkempen pada pilihan raya hingga menyebabkan Siew Ki dengan senang membuat tuduhan seperti itu.
Katanya, sebagai pembangkang di Selangor segala isu yang dibangkitkan adalah untuk membela nasib rakyat demi kebajikan mereka dan disebabkan itu adalah wajar untuk pengundi di Balakong memberikan undi kepadanya.
“Apa yang saya bangkitkan adalah mengenai suara rakyat. Mana ada saya menyeru untuk mendapat undi. Saya menyuarakan kehendak rakyat dan melantangkannya.
“Adakah dia faham apa yang berlaku di Balakong atau seperti di Sungai Chua di sini?
“Di setiap ceramah semua tempat dia kata Balakong sedangkan ketika itu dia berada di Sungai Chua. Pergi satu tempat kenalah sebut dengan betul nama tempat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melakukan lawatan bertemu penduduk di Taman Seri Kota di sini hari ini.
Chee Teong berkata, tidak guna bagi Siew Ki membangkitkan perkara-perkara tidak penting dengan kempen yang hanya berbaki empat hari sahaja dan sebaiknya memberikan pengisian untuk menyelami masalah rakyat dan selesaikan.
Jelas beliau, bukan masanya untuk berbahas isu-isu remeh pada saat ini, sebaliknya jika benar-benar mahu ia diadakan tunggu sehingga beliau mendapat mandat rakyat dan menjadi ADUN kerana banyak yang boleh dibahaskan pada sidang DUN nanti.
“Rakyat di sini nak mansuhkan tol, nak turunkan (harga bayaran) tol. Ini tak payah bahas.
“Lagipun ini manifesto yang mereka tunjukkan. Keutamaan berilah kepada rakyat. Bukan nak bahas sahaja,” ujarnya.
Semalam, Siew Ki ketika ditemui media menyatakan MCA dianggap tidak ikhlas apabila sering menggunakan taktik merayu undi bagi meraih simpati ketika berkempen.
Malah katanya, parti itu juga disifatkan gagal dalam memahami konsep ‘semak dan imbang’ sebagaimana yang digunakan pada slogan mereka.
Katanya, langkah merayu undi bukan lagi tatkik wajar dalam berkempen sebaliknya, menyelami masalah penduduk yang merupakan pengundi adalah pendekatan utama perlu dititikberatkan. – MalaysiaGazette