PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) Selangor akan sentiasa memberi sokongan kepada sebarang aktiviti berkaitan seni dan budaya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Calonnya, Halimey Abu Bakar berkata, beliau percaya aktiviti itu boleh menjadi medium berguna sebagai alat perpaduan yang berkesan.
Selain itu, katanya, keterlibatan anak muda dalam aktiviti seni dan budaya secara tidak langsung mampu menghindarkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial.
“Sebagai menterjemahkan sokongan saya kepada aktiviti seni dan budaya di kawasan ini, saya menyokong agar program seperti Minggu Kebudayaan dapat dilaksanakan bermula dari sekarang.
“Penganjuran Minggu Kebudayaan ini saya lihat akan mengisi ruang kepada generasi muda untuk bergiat dalam apa sahaja cabang seni dan budaya.
“Ini juga sekali gus dapat mengasah bakat mereka supaya dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media hariannya di Bilik Gerakan Utama, dekat sini, hari ini.
Halimey turut memberi contoh, Perancis adalah antara negara maju yang tidak pernah meminggirkan seni dan budaya tempatan negara itu.
Ini katanya, kerajaan negara itu mengakui seni dan budaya adalah antara aset terpenting yang banyak menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negara mereka.
“Sebagai mantan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), saya juga berharap lebih ramai bakat seni di kawasan Seri Setia dapat dicungkil terutama menerusi Badan Kesenian MBPJ yang aktif sejak sekian lama.
“Sebagai usaha memperkasakan seni dan budaya, saya akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk mewujudkan sudut seni di lokasi tertentu di DUN berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette