LONDON – Jose Mourinho menyifatkan penyerangnya, Marcus Rashford menunjukkan sikap seorang budak yang naif selepas diperintah keluar padang ketika Manchester United menang ke atas Burnley, awal pagi tadi.
Rashford, 20, menerima kad merah pertama dalam kariernya selepas menanduk kepala Phil Bardsley.
United ketika itu sedang mendahului 2-0 apabila Rashford tidak berpuashati dengan Bardsley yang terlebih dahulu memulakan provokasi dengan menyepaknya.
Bardsley pula hanya menerima kad kuning yang menyaksikan United bermain 10 pemain ketika perlawanan berbaki 10 minit.
“Saya tidak nampak insiden itu dan Rashford begitu naif.
“Dia ibarat pergaduhan antara budak-budak dengan lelaki dewasa. Bardsley telah beraksi selama 20 tahun manakala Marcus adalah budak yang baik,” kata Mourinho.
Sementara itu, penyerang Belgium, Romelu Lukaku meletak United di depan menerusi tandukannya pada minit ke-27.
Dia turut menggandakan jaringan sebelum tamat separuh masa pertama.
Paul Pogba pula terlepas sepakan penalti pada babak kedua tetapi keputusan itu sudah cukup buat United untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang lawan. – MalaysiaGazette